AGONG TERIMA PANGGILAN TELEFON PRESIDEN TURKI
AGONG TERIMA PANGGILAN TELEFON PRESIDEN TURKI
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, di Istana Negara.
Menurut kemas kini terbaru di laman Facebook rasmi Istana Negara, baginda menzahirkan ketetapan diambil Kerajaan Malaysia untuk bersama Turki dan komuniti antarabangsa mengecam pencerobohan serta serangan tentera penjajah Israel dan pendatang haram Yahudi ke atas rakyat Palestin serta jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa baru-baru ini.
Dalam perbualan telefon selama 20 minit bermula jam 6 petang itu, Al-Sultan Abdullah turut menegaskan Malaysia menyokong dan mengalu-alukan cadangan mengadakan persidangan tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincang isu keganasan Israel terhadap Palestin.
Selain itu, baginda turut menyentuh hubungan dua hala yang erat terjalin selama ini di antara Malaysia dan Turki serta usaha pengukuhan perdagangan antara kedua-dua negara.
Al-Sultan Abdullah dan Erdogan pada masa sama turut bertukar ucapan selamat menyambut Aidilfitri termasuk kepada ahli keluarga, lapor Bernama.
Selain itu, Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan penghargaan kepada Erdogan atas jemputan mengadakan lawatan negara ke Turki pada September ini.
Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah dijadualkan mengadakan lawatan negara ke Turki selama lima hari bermula 19 April 2020, namun ditangguhkan berikutan penularan wabak COVID-19.
Mengikut rekod, kali terakhir baginda berbual bersama Erdogan menerusi panggilan telefon pada 6 Jun tahun lalu di Istana Negara dan Al-Sultan Abdullah sebelum itu juga menerima menghadap pemimpin berkenaan di Istana Negara pada 18 Disember 2019 sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur.
Terdahulu pada jam 3 petang, Al-Sultan Abdullah membuat panggilan telefon secara peribadi kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo bagi menzahirkan ucapan Aidilfitri kepada keluarganya dan seluruh rakyat Indonesia.
Menurut kenyataan itu, baginda turut mengucapkan takziah kepada pemimpin itu dan seluruh keluarga mangsa kapal selam KRI Nanggala 402 susulan tragedi kemalangan menimpa kapal itu pada 21 April lalu di utara perairan Bali, Indonesia.
Selain itu, kedua-dua pemimpin turut berkongsi pandangan berkenaan usaha memerangi penularan COVID-19 di kedua-dua negara termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan merentas daerah serta negeri yang juga dilaksanakan di Indonesia.
Dalam perbualan itu, Al-Sultan Abdullah turut berharap hubungan dua hala dan kerjasama di antara kedua-dua negara kekal erat dan terus utuh walaupun berdepan kekangan situasi COVID-19.
Kali terakhir pertemuan di antara baginda bersama Presiden Indonesia itu pada Ogos 2019 bersempena lawatan negara ke Indonesia selama empat hari bermula 26 Ogos yang juga lawatan sulung Al-Sultan Abdullah selepas ditabalkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.