AGONG SINGGAH PANTAI SEPAT
LAWATAN TAK RASMI DEKATI RAKYAT
KUANTAN: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat mengadakan lawatan mengejut ke Pantai Sepat di Tanjung Sepat, Kuantan pada petang tadi.
Berdasarkan perkongsian di laman sosial Facebook rasmi Istana Negara, dalam lawatan mengejut ini, Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa beramah mesra dan bertanya khabar dengan para peniaga dan rakyat yang berkunjung di sini.
Seri Paduka Baginda turut berkenan membeli juadah makanan di beberapa gerai di sini dan mengurniakan sumbangan peribadi kepada rakyat.
Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap kebajikan rakyat dan kelangsungan hidup rakyat jelata, khususnya golongan yang memerlukan.
Keberangkatan Al-Sultan Abdullah ini juga mencerminkan keperibadian tinggi Seri Paduka Baginda yang begitu mesra menyantuni rakyat jelata.