Agong sambut baik kawasan rizab harimau diraja
Agong sambut baik kawasan rizab harimau diraja
TEMERLOH – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyambut baik usaha Pemasyhuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Institut Biodiversiti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Bukit Rengit, di Lanchang. Dekat sini, hari ini.
Baginda bertitah, usaha itu merupakan satu anjakan paradigma yang positif terhadap memelihara alam sekitar dan hidupan liar di Negeri Pahang.
“Sepanjang saya sebagai Tengku Mahkota 45 tahun tidak ada lagi usaha untuk merizabkan sesuatu kawasan yang besar atas nama seorang sultan atau tengku mahkota terhadap memelihara alam sekitar.
“Masa dahulu selalu namakan atas nama saya ialah air terjun, itu saja yang saya ingat dalam hutan dan ini satu kawasan yang luas 134,000 hektar di Gunung Ais dan juga di sini kawasan rizab dan diharapkan kawasan dicadangankan ini diwartakan dan diselenggarakan dengan sebaik yang mungkin,” tittah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli pada Majlis Pemasyhuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Institut Biodiversiti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Bukit Rengit, Lanchang.Pahang, hari ini.
“Agenda ini akan diteruskan dan kita semua harus memberi sokongan dan dokongan khususnya pihak kerajaan, pihak kerajaan persekutuan dan NGO yang berminat untuk memberi perlindungan kepada harimau atau pun hidupan liar ini.
“Pihak kerajaan dapat melaksanakan satu usaha yang baik dalam melaksanakan dan meningkatkan pendekatan-pendekatan berkonsepkan ‘sustainable development approach’ atau pun pendekatan pembangunan mampan bukan sahaja untuk jangka masa pendek tetapi juga bagi jangka masa Panjang,” titah baginda.
Baginda turut menitahkan agar Kerajaan Pahang dapat menghutankan dan menghijaukan lebih banyak kawasan daripada jumlah sedia ada sebanyak 57 peratus kawasan hutan yang belum disentuh di negeri ini.
Baginda juga mencadangkan agar Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dapat membuat perancangan jangka panjang melibatkan kawasan takungan air.-SAHIH.