AGONG REDAH BANJIR DEMI RAKYAT
AGONG REDAH BANJIR DEMI RAKYAT
MARAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan memandu sendiri pacuan empat roda meredah banjir di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) untuk melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran, di sini.
Difahamkan, ketika itu, kenderaan dipandu baginda merentas air setinggi kira-kira satu meter sejauh 500 meter di KM113 di Lanchang.
Baginda kemudian sempat berkongsi pengalaman itu ketika bertitah selepas mendengar Taklimat Bencana Banjir Daerah Maran.
“Mesej yang ingin saya sampaikan ialah supaya kita sentiasa berhati-hati di jalan raya ketika musim banjir ini,” titahnya.
Baginda turut mengingatkan semua petugas di pusat pemindahan sementara (PPS) supaya tidak mengambil sikap sambil lewa, sebaliknya serius dalam menguruskan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan urusan di PPS berjalan lancar dan tidak menyusahkan mangsa banjir.
“Saya nak lihat sendiri SOP (prosedur operasi standard) di pusat ini dan saya harap petugas yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara melakukan tugas mereka dengan serius dan sempurna… jangan sambil lewa.
“Saya juga harap makanan secara katering yang dihantar ke sini dilunaskan dengan baik, begitu juga bilik air, semoga semua bekerjasama, tiap kali guna, cuci sendiri,” titahnya.
Beliau bertitah demikian selepas mendengar Taklimat Bencana Banjir Daerah Maran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran, di sini, hari ini.
Turut mengiringi Baginda, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Baginda juga sempat berpesan supaya semua pihak sentiasa mematuhi SOP ketika berdepan pandemik COVID-19, lebih-lebih lagi ketika musim banjir ketika ini.
“Kepada semua petugas dan mangsa banjir, patuhi SOP ditetapkan kerajaan negeri bagi mengelak berlakunya penularan baharu pandemik COVID-19,” katanya.
Seramai 361 mangsa daripada 56 keluarga ditempatkan di sekolah itu sejak banjir melanda daerah Maran,Jumaat lalu.
Baginda berdua juga meluangkan masa kira-kira 15 minit meninjau keadaan mangsa dan mengurniakan sumbangan kepada semua mangsa ditempatkan di PPS itu.