AGONG NASIHAT BERTENANG, JANGAN PANIK
Berita Nasional
AGONG NASIHAT BERTENANG JANGAN PANIK DAN SABAR
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menasihati rakyat supaya bertenang, sabar dan tidak panik dalam menghadapi situasi terkini negara ketika ini.
Titahnya, rakyat juga dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugat ketenteraman negara tercinta.
Dalam kenyataan dikeluarkan Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu berhubung perkembangan terkini itu.
“Rundingan di Istana Negara dalam masa terdekat, bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh (Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin (semalam),” menurut kenyataan dikeluarkan hari ini.
Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Muhyiddin di Istana Abdulaziz, Kuantan selama satu jam setengah, semalam, dan dipersembahkan taklimat cadangan yang dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan ampun perkenan Baginda.
Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19, malah Baginda turut prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini.
Berikutan peningkatan kes COVID-19, Baginda mengulangi titah nasihat kepada rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kebiasaan baharu.
Ia bagi membantu pihak berkuasa memerangi COVID-19, demi keselamatan diri serta masyarakat.
Rakyat turut diseru bersama baginda untuk berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi daripada segala bentuk ancaman serta penularan COVID-19 dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri segera.
Pagi semalam, mesyuarat khas Kabinet berlangsung di Perdana Putra, Putrajaya dan antara lain dikatakan membincangkan cadangan mengadakan perintah darurat kesihatan.
Sumber: Harian Metro