AGONG JALANI RAWATAN SUSULAN
DIRAWAT AKIBAT KERACUNAN MAKANAN, KECEDERAAN KETIKA BERSUKAN
KUALA LUMPUR: YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) kerana keracunan makanan dan kecederaan ketika bersukan.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berhubung status kesihatan Al-Sultan menerusi satu kenyataan petang ini.
Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah menjalani rawatan keracunan makanan di IJN pada malam Isnin lalu.
“Rawatan intervensi pula dilakukan susulan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) pada hari Selasa yang menunjukkan kecederaan dialami oleh Al-Sultan Abdullah ketika bersukan.
“Rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah berlangsung dengan jayanya pada Khamis,” katanya.
Seri Paduka Baginda sangat aktif berkecimpung dalam beberapa jenis sukan, antaranya polo berkuda, bola sepak, skuasy, hoki dan golf.
Bagaimanapun, Seri Paduka Baginda kini berada dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan.
“Ekoran daripada rawatan ini, Seri Paduka Baginda dinasihatkan menjalani rawatan susulan dengan pengawasan rapi pasukan Pakar Perubatan IJN.
“Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan ini,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Al-Sultan Abdullah amat tersentuh dengan keprihatinan rakyat terhadap keafiatan Seri Paduka Baginda dan menzahirkan penghargaan serta terima kasih kepada seluruh rakyat.
“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kebimbangan berikutan jumlah kes positif COVID-19 yang meningkat secara mendadak. Sehingga semalam, terdapat 150 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,919 kes,” katanya