Agong ingatkan penerima Ru’RASA jaga rumah diterima
Foto atas : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merakam gambar kenangan bersama salah seorang penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Kedondong, dekat sini ,semalam.
Agong ingatkan penerima Ru’RASA jaga rumah diterima
JERANTUT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah kepada semua penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) agar menjaga dan menghargai rumah yang diterima sebagai satu harta yang sangat bernilai sehingga akhir hayat .
“Saya selalu ingatkan supaya jadikan rumah sebagai syurga buat kita semua dan biarlah rumah ini diwarisi keluarga sahaja. Jangan kita cepat nak fikir soal hendak jual atau sewakan rumah yang dikurniakan.
“Itu bukan niat kita beri rumah ini, sebaliknya kerana mahu memberikan sedikit sebanyak keselesaan kepada mereka yang menghadapi kesukaran,” titah Seri Paduka semasa mencemar duli menyempurnakan Majlis Pengurniaan Replika Kunci Ru’RASA di Kampung Kedondong di sini , semalam.
Titah baginda, terdapat dua reka bentuk rumah Ru’Rasa disediakan bagi jenis kediaman bertiang untuk penerima rumah dibina di kawasan pesisir sungai dan rumah yang berisiko tinggi serta kerap mengalami banjir.
“Manakala rumah tidak bertiang sebuah dibina bagi kawasan yang selamat daripada banjir,” titah baginda di Majlis Penyerahan Kunci rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) kepada seorang 22 penerima di Kampung Kedondong, Pulau Tawar dekat sini hari ini.
Sementara itu, seorang penerima Ru’RASA , Rozi Yaakob (56) yang menetap di Kampung Kedondong dekat sini sejak 20 tahun lalu berkata, dia dan isterinya, Siti Hawa Abd Ghani (52) bersyukur dengan pengurniaan rumah daripada Seri Paduka.
“Saya tidak menjangka menerima rumah kurniaan itu setelah rumah pusaka milik mentuanya rosak kerana kerap dilanda banjir setiap musim tengkujuh akhir tahun.
“Kami sekeluarga bersyukur dengan bantuan rumah baharu ini daripada Al-Sultan Abdullah kerana rumah lama kami kerap dilanda banjir dan setiap kali selepas banjir rumah pusaka rosak telah mendapat perhatian baginda, menjunjung kasih Seri Paduka Tuanku di atas pengurniaan rumah yang selesa ini,” katanya.
Seorang lagi penerima, Habita @ Haziqah Mohamed Koya, 47, dari Kuala Tembeling menyifatkan Ru’RASA sangat membantu dalam meringankan beban kewangan keluarganya yang terpaksa menyewa rumah dengan kos RM700 sebulan sejak 10 tahun lepas.
“Anak-anak paling seronok bila diberitahu dapat masuk ke rumah sendiri. Boleh dikatakan, dalam seminggu antara tiga ke empat kali mereka akan menjenguk rumah dari luar dan akhirnya kami sudah boleh mula berkemas untuk berpindah ke rumah baharu ini,” katanya.-SAHIH.