AGONG DENGAR TAKLIMAT PERSEDIAAN HADAPI BANJIR
AGONG DENGAR TAKLIMAT PERSEDIAAN HADAPI BANJIR
KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mendengar Taklimat Persediaan Menghadapi Banjir Tahun 2020/2021 negeri di bilik mesyuarat Istana Abdulaziz, di sini, hari ini.
Yang turut berangkat ke majlis itu, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah.
Taklimat bermula jam 10.30 pagi dan berlangsung hampir sejam itu disampaikan oleh Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.
Menurut laporan Bernama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bersama Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, dan pengarah jabatan negeri berkaitan juga menghadiri sesi taklimat itu.
Pada akhir sesi taklimat berkenaan, Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya aspek norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) untuk membendung penularan wabak COVID-19, menjadi keutamaan di semua pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di negeri ini.
Selain itu, semua masjid di Pahang dititah melaksanakan solat hajat dari semasa ke semasa bagi memohon agar dijauhkan perkara tidak diingini dan Pahang sentiasa dijauhkan daripada musibah.
Baginda juga menzahirkan keyakinan terhadap pentadbiran negeri untuk membuat persediaan menghadapi banjir.
Seri Paduka sekali gus mengingatkan semua pihak berkaitan supaya bersama-sama memikul tanggungjawab meringankan kesusahan rakyat ketika musim tengkujuh.
Al-Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang seterusnya menzahirkan ucapan terima kasih kepada pentadbiran negeri, termasuk agensi berkaitan, kerana membuat persediaan lengkap dengan data terkini pada taklimat berkenaan.