BANTUAN PEMULIHAN SEGERA DI THAILAND
LEBIH SETENGAH JUTA RAKYAT THAILAND TERKESAN BANJIR AKAN DIBERI BANTUAN
BANGKOK: Banjir besar di selatan Thailand akibat hujan monsun, mengorbankan sekurang-kurangnya 26 nyawa dan membabitkan lebih 555,000 isi rumah.
Pada kemas kini jam 8 malam tadi (waktu tempatan), Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand melaporkan setakat ini 21 orang maut di Nakhon Si Thammarat iaitu kawasan paling teruk dilanda banjir, manakala dua maut masing-masing di Surat Thani dan Songkhla dan seorang di Trang sejak 25 November lalu.
“Situasi bertambah baik sedikit dan paras air mulai menurun. Bagaimanapun sejumlah 282,691 keluarga di lima wilayah masih terkesan dengan banjir,” menurut kenyataan yang dipetik Bernama.
Terdahulu Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha melawat Nakhon Si Thammarat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir, termasuk petani dan nelayan yang terjejas.
Beliau berkata, pihak berkuasa berkaitan akan menyediakan bantuan yang sepatutnya dan mempercepatkan proses pemulihan selepas banjir, termasuk membaiki rumah yang rosak dan infrastruktur.
“Agensi dan jabatan berkaitan akan mempercepatkan usaha mengalirkan air banjir selain mengkaji projek mitigasi banjir bagi menyelesaikan isu banjir di masa hadapan,” katanya.