Agenda pemerkasaan koperasi jadi keutamaan
Agenda pemerkasaan koperasi jadi keutamaan
BENTONG – Gerakan koperasi kekal menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan tidak langsung kepada kerajaan Pahang.
Berdasarkan rekod, terdapat 1,146 koperasi dengan kira-kira 300,000 ahli bergerak aktif di negeri ini.
Melalui aktiviti dijalankan koperasi berkenaan, sebanyak RM970 juta perolehan dicatatkan dan seterusnya memberi manfaat kepada ekonomi setempat, terutamanya sektor perusahaan kecil dan sederhana.
Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, menyedari kekuatan dan potensi dimiliki gerakan koperasi di negeri ini, kerajaan Pahang memberi perhatian secara berfokus kepada sektor berkenaan.
Berucap ketika mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Mesyuarat Agung Koperasi Belia Pahang baru-baru ini, Amizar menekankan peranan koperasi perlu diperhebatkan dan mengikut arus perkembangan semasa.
“Saya percaya Koperasi Belia Pahang yang sudah menjangkau usia 40 tahun mempunyai kekuatan dan sokongan ahli secara berterusan.
“Selaras dengan usia penubuhannya, saya percaya bahawa koperasi ini sudah cukup matang dalam merencanakan agenda dan sasaran bagi memastikan setiap kegiatan atau aktiviti akan memberi nilai tambah serta keuntungan kepada ahlinya,” katanya.
Amizar turut menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri kepada koperasi itu, sebagai tanda penghargaan dan memberi semangat kepada mereka untuk terus mencatatkan kejayaan lebih gemilang. – SAHIH