AFDLIN SHAUKI SERTAI PKR
AFDLIN SHAUKI SERTAI PKR
KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi platform politik pilihan artis ternama tanah air, Datuk Adflin Shauki untuk berkhidmat kepada masyarakat.
PKR yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, kata Afdlin, menawarkan ruang dan kedudukan untuk beliau berkongsi aspirasinya dalam kerja-kerja kemanusiaan.
Dalam masa sama, seniman itu menjelaskan, nilai perjuangan dan semangat kental Anwar sebagai pemimpin juga banyak mendorong beliau untuk mendekati rakyat.
ANWAR IBRAHIM
Kata Afdlin, jiwa besar dan dedikasi Anwar dalam perjuangan politik di sebalik jerit perih yang dilaluinya juga banyak mencetus keinsafan dalam dirinya.
“Jiwa besar Datuk Seri Anwar dalam memaaf dan menerima kembali orang yang pernah masukkan beliau dalam penjara merupakan hal yang membuka mata dan fikiran saya.
“Datuk Seri Anwar tidak pernah lelah dalam perjuangannya, begitu dedikasi dan komited untuk membela rakyat di sebalik kesengaraan yang beliau dan keluarga lalui. Nilai yang ada dalam diri Datuk Seri Anwar itu membuatkan saya tidak fikir panjang untuk menyertai PKR,” kata Afdlin kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Pengumuman penyertaan Afdlin dan penyanyi Altimet dalam PKR akan diumumkan oleh Anwar yang juga Ketua Pembangkang dalam acara Temu Anwar pada 1 April ini di sebuah hotel di Ampang.
Kata Afdlin, keputusannya menyertai PKR selepas pernah berjuang di bawah parti UMNO semuanya atas kemahuan dirinya sendiri.
“PKR adalah parti yang menjaga semua kaum walaupun ketuanya orang Melayu. Inilah wadah yang saya dambakan. Orang Melayu menjadi ketua tanpa mengabaikan hak serta kebajikan kaum-kaum lain.
“Dan Datuk Seri Anwar adalah pemimpin yang sentiasa mengutamakan rakyat pelbagai kaum. Sebagai rakyat Malaysia, pemimpin sebegini yang negara perlu ada,” kata Afdlin lagi.