ADUN Pelangai mahu tindakan tegas terhadap pemimpin biadab
ADUN Pelangai mahu tindakan tegas terhadap pemimpin biadab
BENTONG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemimpin parti yang melampau.
Beliau berkata, sikap pemimpin parti tertentu yang tidak menghormati institusi diraja adalah sangat mengecewakan dan tidak boleh diterima.
“Kami rakyat Pahang mahukan pihak berwajib mengambil tindakan ke atas kebiadaban pemimpin parti yang melampau,” katanya.
Amizar bagaimanapun tidak menyebut nama pemimpin terbabit.
Sebelum ini Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama dan raja) ketika berucap dalam ceramah di sekitar Nenggiri, Gua Musang, Kelantan.
Petikan ceramah Muhyiddin ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri itu tersebar di media sosial.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dilaporkan berkata dia sepatutnya dilantik sebagai Perdana Menteri selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Namun dakwa Muhyiddin, dia tidak dipanggil ke Istana Negara oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tindakan ahli parlimen Pagoh itu kemudiannya mencetuskan rasa murka Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Difahamkan lebih 30 laporan polis sudah dibuat terhadap Muhyiddin susulan isu berkenaan. – sahih