ADUN LANTIKAN ADA PRO & KONTRA
BERPOTENSI DISALAHGUNA, TAPI BOLEH IMBANG SUARA MINORITI
KUANTAN: Keputusan kerajaan Pahang melantik lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa proses pilihan raya dilihat sebagai tindakan yang mempunyai pro dan kontra tersendiri.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Fuziah Salleh berkata, usul diluluskan tanpa pembabitan ADUN pembangkang itu mempunyai potensi disalahgunakan secara politik jika pemilihan ADUN berkenaan dibuat secara kurang cermat.
PENGERUSI Pakatan Harapan Pahang, Fuziah Salleh
“Kita (PH Pahang) melihat keputusan melantik ADUN seramai 5 orang di Dewan Undangan Negeri berpotensi disalahguna sekiranya ianya dilakukan untuk melantik ADUN terbabit di kawasan pembangkang sedia ada.
“Jika ADUN itu diberikan peruntukan sama dengan ADUN kerajaan dan dibenarkan memberi khidmat di kawasan ADUN PH, maka ianya boleh dilihat sebagai usaha menjatuhkan suara pembangkang melalui cara pintu belakang.
“Lagipun, di masa yang sama ianya dilihat sebagai usaha membazirkan duit rakyat di dalam keadaan rakyat memerlukan bantuan sewaktu pandemik COVID-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Fuziah yang juga Pengerusi PKR negeri berkata, sekiranya lantikan itu digunakan untuk megimbangi suara minoriti, seperti melebihkan suara wanita, suara Orang Asli dan suara OKU, maka ianya boleh dilihat sebagai langkah progresif dan demokratik.
“Pada pandangan saya, tiga ADUN lantikan perlu datangnya dari kalangan wanita untuk mengimbangi suara wanita di dalam DUN Pahang dan memberi fokus kepada isu wanita, keluarga dan masyarakat.
“Dua lagi kekosongan perlu dipilih daripada masyarakat Orang Asli dan wakil daripada orang kelainan upaya (OKU).. mereka perlu memiliki kebolehan untuk membawa suara kumpulan minoriti tanpa masalah sempadan daerah dan bebas daripada pengaruh politik,” katanya.
Beliau yang juga ahli Parlimen Kuantan berharap kerajaan Pahang dapat membuktikan keikhlasan mereka dengan memilih calon yang sesuai dan tidak dipengaruhi mana-mana kumpulan dalam melantik lima ADUN berkenaan.