ADUN KUALA SENTUL, PDRM TUNAI HASRAT MOHD AQIL
ADUN KUALA SENTUL, PDRM TUNAI HASRAT MOHD AQIL
MARAN: Hasrat Mohd Aqil Aqmar Nordin (4 tahun) untuk menaiki kenderaan polis tercapai apabila Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Maran menunaikan kemahuan anak kecil itu, setelah mengetahui melalui media sebelum itu, petang semalam.
Mohd Aqil turut ditemani oleh bapanya, Nordin Jasni (39) yang turut berada bersama di dalam kereta tersebut kira-kira sejam mengelilingi kawasan Felda Ulu Jempol dan seterusnya ke Balai Polis Sungai Jerik yang terletak kira-kira 6 kilometer dari rumahnya.
Lebih manis lagi, kereta peronda polis itu dipandu sendiri oleh Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abd Rahman dan turut mengiringi Mohd Aqil oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Mohd Aqil yang mengidap penyakit juvenile hyline fibromatosis yang disahkan oleh doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada peringkat awal kelahirannya adalah seperti bayi normal yang lain.
Perubahan fizikal bermula di bahagian jari tangan dan kaki bayi itu mula membengkok ketika di usia bulan ketiga termasuk berlaku tulang mengeras dan kejang, pada usia 6 bulan kemudian berlaku perubahan seolah ketumbuhan di bahagian mulut.
Datuk Shahaniza berkata, hasrat anak kecil itu harus ditunaikan bagi meningkatkan tahap psikologinya yang mungkin membantunya untuk sembuh dan kita serahkan kepada doktor pakar untuk merawatnya selain turut berdoa dan berserah kepada Illahi.
“Apabila terbaca melalui media berkaitan hasrat Mohd Aqil untuk menaiki kereta peronda polis, terus saya hubungi ketua polis daerah untuk mendapat kebenaran dan beliau bersetuju.
“Alhamdulillah, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat turut meluluskan bantuan bulanan kepada anak istimewa ini,” katanya.
DSP Norzamri berkata, Alhamdulillah pihak polis dapat menunaikan hasrat Mohd Aqil untuk mencapai inspirasi untuk menaiki kereta peronda dan turut beramah mesra dengan anggota polis di Balai Polis Sungai jerik termasuk dapat menaiki motor unit peronda.
“Ini antara khidmat polis kepada masyarakat dan pastinya menjadi kenangan buat Mohd Aqil, saya turut dimaklumkan oleh bapanya dia sangat teruja untuk menjadi anggota polis dan mahu memandu kereta polis,” katanya.
Bapanya Nordin Jasni, sangat berterima kasih kepada ADUN Kuala Sentul dan Ketua Polis Daerah Maran yang sangat cakna dengan hasrat anaknya itu, lebih-lebih lagi sebagai satu hadiah yang tidak ternilai sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.-SAHIH