ADUN Jengka tidak matang, semua benda mahu dipolitikkan
ADUN Jengka tidak matang, semua benda mahu dipolitikkan
KUANTAN – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka daripada Pas, Shahril Azman Abd Halim mempolitikkan kesilapan dalam video TikTok yang tular baru-baru ini sangat mengecewakan.
Kesilapan dalam video itu diakui oleh ADUN Lantikan Pahang, Haris Salleh Hamzah dan beliau sudah memadamkan video berkenaan.
Haris berkata, apa yang berlaku ketika rakaman video itu adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan dan tidak berniat untuk mengguris hati mana-mana pihak.
“Saya sedar berlaku kesilapan ketika rakaman video itu dan perkara berkenaan segera saya ambil tindakan dengan memadamkan video terbabit.
“Sangat mengecewakan kerana Shahril Azman menberi ulasan dengan merujuk kepada video yang sudah tiada (dipadamkan) dan seterusnya ia menjadi viral.
“Saya harap perkara ini tidak terus dijadikan bahan politik kerana ia bukanlah kesilapan yang disengajakan,” katanya.
Sebelum ini, ADUN Jengka terbabit mendakwa Haris sebagai tidak peka dengan hal berkaitan kiblat umat Islam – Kaabah – hingga menimbulkan kekeliruan.
Bagaimanapun, Haris menjelaskan ucapan dibuat dalam video terbabit disebabkan salah faham dan ia sudah tidak ada dalam akaun TikTok miliknya.
Dalam perkembangan sama, Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli turut mempersoalkan tindakan ADUN Jengka mempolitikkan perkara itu.
Ridzuan turut menasihati Shahril Azman supaya lebih matang dan tidak menjadikan semua benda sebagai bahan politik.
Katanya, Haris yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerantut sudah memohon maaf atas kekhilafan yang tidak disengajakan itu dan ia tidak perlu dipanjangkan. – SAHIH