ADIK BERKORBAN PERBELANJAAN ABANG SAKIT
ADIK BERKORBAN PERBELANJAAN ABANG SAKIT
JERANTUT – Mohd. Hamidi Khairudeen, 48, yang terlantar sakit berpunca pendarahan dalam kepala dan kemudian menjalani pembedahan pada Ogos lalu masih meneruskan rawatan di hospital dan memerlukan perbelanjaan yang besar.
Juliyana Khairudeen berkata, abangnya merupakan anak sulung daripada enam beradik pada mulanya kerap meracau dan meronta di rumah lalu dihantar untuk pemeriksaan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hosas) Temerloh.
“Kemudian, abang dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk pemeriksaan pakar dan serta merta menjalani pembedahan kali pertama pada 8 Ogos 2021.
“Susulan penyakit bahagian dalam kepala agak serius, abang dibedah kali kedua di hospital yang sama pada 11 Ogos, kemudian disusuli pula pembedahan bahagian kerongkong malahan keadaan sakitnya masih tidak berubah sehingga ini,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini hari ini.
Menurut Juliyana, pihak hospital telah memaklumkan abangnya mengalami pendarahan dalam kepala kerana salah satu saluran darah telah pecah dan memerlukan rawatan susulan dan perhatian pihak hospital.
“Setelah kembali daripada hospital, keadaan penyakit abang saya tidak berubah dan kadang-kadang kerap meracau-racau dan meronta-ronta apabila dia sedar dari tidur berpunca tekanan kesakitan yang dialaminya,” katanya.
Katanya, kebajikan makan minum termasuk peralatan kebersihan diri seperti lampin pakai buang, dia sendiri mengeluarkan belanja setiap kali kehabisan kerana ibu bapanya tidak mampu lagi mengeluarkan wang, lagipun hasil bulanan sawit terpaksa digunakan pelbagai pembelanjaan perlu.
“Sehingga ini, abang minum susu khas dengan perbelanjaan hampir RM400 sebulan, manakala terpaksa mengeluarkan wang tambahan menyediakan lampin pakai buang yang kerap digunakan untuk pembuangan najis.
Juliyana menambah, keseluruhan perbelanjaan ditanggung untuk abangnya termasuk kos sewa ambulans hampir RM1,500 sebulan sehingga dia yang berniaga makanan secara kecil-kecilan terpaksa berkorban mengurangkan perbelanjaan lima orang anak dan keluarganya.
Orang ramai dan penyumbang ingin menderma dengan menghubungi Juliyana Khairudeen menerusi talian 013 9978993 atau terus ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0630041000040952 (Juliyana)._SAHIH.