ADHAM, NOOR HISHAM TINJAU KLIA
Berita Nasional
ADHAM, NOOR HISHAM TINJAU KLIA
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pagi tadi meninjau proses saringan COVID-19 kepada individu yang tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Malaysia Airports menerusi ciapan Twitter rasminya, mengucapkan terima kasih kepada Dr Adham dan Dr Noor Hisham terhadap dedikasi dan komitmen kedua-duanya, bagi memastikan semua langkah keselamatan dan prosedur ujian dijalankan dengan lancar.
Semalam, Kementerian Kesihatan menambah kakitangannya di KLIA dan klia2 untuk menjalankan saringan kepada individu yang tiba dari Sabah.
Ia susulan peraturan baharu yang mewajibkan semua individu yang tiba dari Sabah, disaring di pintu masuk domestik dan antarabangsa bermula semalam hingga 10 Oktober.
“Peraturan baharu itu bermula hari ini (semalam) dan mereka dipakaikan gelang kuarantin dan diwajibkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO),” jelas kementerian itu menerusi Twitter, semalam.
Terdahulu, sejumlah individu dari Sabah, khususnya yang terbabit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, memaklumkan terpaksa menunggu sehingga enam jam untuk menjalani ujian calitan (swab test) COVID-19.
Beberapa video juga tular di media sosial menunjukkan ratusan individu terpaksa beratur panjang serta duduk di atas lantai di KLIA dan klia2 bagi menunggu giliran melakukan ujian saringan.