‘Adendum’ perlu dihormati – Abdul Rahman
‘Adendum’ perlu dihormati – Abdul Rahman
JERANTUT – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, menegaskan bahawa dokumen addendum berkaitan pengurangan hukuman penjara terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, perlu dihormati dan diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, dokumen tersebut adalah titah rasmi Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong, dan tidak sepatutnya dinafikan kewujudannya lebih 500 hari sebelum ia akhirnya didedahkan kepada umum.
“Sebagai rakyat biasa, saya tertanya-tanya bagaimana sebuah dokumen penting seperti addendum ini boleh diketepikan begitu lama. Sepatutnya dari awal lagi dimaklumkan kepada rakyat bahawa titah tersebut wujud.
“Ia bukan sebarang kenyataan, tetapi titah rasmi yang memperincikan pengurangan hukuman Datuk Seri Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun penjara, serta pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
“Lebih penting, titah tersebut turut menyatakan supaya beliau menjalani hukuman secara tahanan rumah, dan ini harus dipertimbangkan dengan penuh hormat oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut 2025 yang berlangsung di Dewan UMNO Jerantut, hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah dan Datuk Nazri Ngah, Mantan ADUN Pulau Tawar.
Tambah Abdul Rahman, UMNO bukan hanya berjuang membela mana-mana individu, sebaliknya menuntut keadilan berdasarkan lunas perlembagaan serta prinsip undang-undang negara.
“Kita tidak mahu ada pihak mempertikaikan kedudukan institusi Raja. Sebab itu kita harap mahkamah akan meneliti perkara ini secara adil dan saksama,” katanya lagi.-SAHIH