ADAKAN PEMILIHAN UMNO TAHUN INI
ADAKAN PEMILIHAN UMNO TAHUN INI
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan pemilihan parti itu tetap diadakan tahun ini.
Beliau berkata, walaupun tarikh pemilihan parti belum ditentukan, namun ia akan diadakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
“Perhimpunan agung parti wajib diadakan setiap tahun, namun Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang sepatutnya diadakan, terpaksa ditangguhkan berikutan COVID-19.
“Kita merancang untuk mengadakannya pada 31 Januari lalu, namun itu pun terpaksa ditangguhkan. Maka keutamaan ketika ini adalah untuk mengadakan PAU 2020 terlebih dahulu.
“Tetapi saya sudah berjanji dan memberi jaminan pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan nasional akan tetap diadakan tahun ini,” katanya dalam satu program buat bicara hari ini.
Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak akan menggadaikan prinsipnya untuk mengadakan kerjasama politik dengan DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
GAMBAR HIASAN
Beliau berkata, bukan sahaja DAP malah UMNO tidak pernah berhasrat untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang, setakat ini.
“Di luar sana (ada sangkaan) seolah-olah UMNO mahu bersekongkol dengan parti yang didoktrinasi oleh pemimpin selama 22 tahun yang sangat bencikan parti terbabit dan akhirnya pemimpin itu berpelukkan penuh erat dengan parti itu, lapor BH Online.
“Terlalu awal untuk menyatakan kita mahu bergabung dengan parti itu atau parti ini. Kita tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan secara formal atau tidak formal.
“Tetapi kedinamikan politik itu tidak boleh dinafikan,” katanya.