Ada pengendali Facebook masih tabur fitnah terhadap Wan Rosdy
Ada pengendali Facebook masih tabur fitnah terhadap Wan Rosdy
JERANTUT – Pengendali laman sosial Facebook Promosi PN Maran didakwa sengaja mencari publisiti murahan apabila memfitnah dan membuat hantaran jelek terhadap Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Fitnah itu berhubung ucapan Menteri Besar yang tersasul menyebut ‘Palestin hancur’ ketika Himpunan Pahang4Palestine di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini, Ahad lalu.
Pengerusi Biro Sosial Gabungan Ketua-ketua Peneroka FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab pengendali laman Facebook itu.
“Umum mengetahui himpunan besar-besaran oleh kerajaan Pahang itu tanda solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin yang ditindas dan diserang rejim zionis.
“Kerana terlalu bersemangat ketika berucap, Menteri Besar tersasul ketika berucap dan telah pun meminta maaf.
“Bukan Tok Wan (Wan Rosdy) tidak sedar, beliau sedar dan minta ia (kesalahan) tidak sebarkan.
“Kenapa masih sebar dan buat pula hantaran jelek?,” katanya.
Ahad lalu, tular rakaman video berdurasi 20 saat yang memetik Wan Rosdy menyebut ‘Palestin hancur’ sebelum beliau meminta maaf atas kesilapan itu.
Dalam hantaran Facebook Promosi PN Maran, mereka mengeluarkan fitnah terhadap Menteri Besar Pahang yang menyebut Apakah MB Pahang ini keturunan Yahudi ke?.
Hantaran itu menerima 4,400 respon dan juga komen yang rata-ratanya mengecam, memperlekeh dan menghina Wan Rosdy.
Mengulas lanjut, Razak berkata, pengendali Facebook Promosi PN Maran sengaja membesar-besarkan isu itu demi meraih sokongan.
“Mereka ini dilihat seolah-olah ketandusan idea dan tindakan tersebut bagi kami amatlah memalukan ketika semua rakyat bersolidariti kepada rakyat Palestin.
“Kami berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya kepada pengendali Facebook berkenaan supaya ia menjadi iktibar kepada orang ramai,” katanya.- SAHIH