Ada GLC Pahang Dikenakan Audit Forensik
Ada GLC Pahang Dikenakan Audit Forensik
KUANTAN – Hanya satu anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Pahang dikesan terbabit dalam salah laku membabitkan tadbir urus hingga mengalami kerugian puluhan juta ringgit.
Perkara itu hanya dikesan selepas audit forensik dilakukan terhadap GLC terbabit atas arahan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, tindakan menjalankan audit forensik adalah perkara biasa jika kerajaan negeri mendapati berlaku ketirisan yang tidak wajar berdasarkan perolehan GLC terbabit.
“Ada satu GLC yang saya terpaksa arahkan audit forensik selepas mendapati aktiviti berjalan, perniagaan berjalan tetapi (merekodkan) kerugian berpuluh-puluh juta.
“Saya merasakan seolah-olah ada (benda) tidak betullah dan apabila kita mengadakan audit forensik, kesannya kita dapat tahu dan mereka pun (pihak pengurusan GLC terbabit) ada yang meletakkan jawatan serta-merta, kita tidak mahu perkara seperti ini terus berlaku sebab yang ruginya kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2020 Peringkat Pahang di Kompleks Yayasan Pahang, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha Negeri, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Ditanya mengenai sama ada terdapat GLC Pahang yang berada dalam ‘red list’ susulan tindakan diambil sebelum ini terhadap GLC terbabit, Wan Rosdy berkata, secara keseluruhannya semua anak syarikat kerajaan negeri diuruskan dengan baik dan terkawal.
“Saya tidak kata semuanya ok, tapi semuanya bertambah baik dan terkawal. Tidak ada yang berada dalam ‘list’ pemerhatian dan saya boleh katakan ok kerana angka tidak pernah berbohong.
“Macam tahun 2019, sejumlah RM19 juta keuntungan dicatatkan GLC diserahkan kepada kerajaan dan jumlahnya meningkat kepada lebih RM20 juta tahun lalu.
“Untuk tahun ini pula, GLC Pahang dapat menyumbang sejumlah RM52 juta kepada kerajaan negeri, maknanya boleh dikatakan cemerlang, tapi kita jangan pula berada dalam zon selesa,” katanya.
Wan Rosdy turut memaklumkan kerajaan Pahang optimis dapat merekodkan perolehan RM1 bilion pendapatan kerajaan negeri tahun hadapan.
Katanya, kadar ketirisan perolehan dan isu membabitkan tadbir urus kerajaan Pahang sudah dapat diatasi secara konsisten sejak beliau memegang jawatan sebagai Menteri Besar.
“Ketika saya mula dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada tahun 2018, kerajaan negeri mencatatkan kutipan hasil lebih RM600 juta dan tahun 2019 pula sebanyak RM700 juta dikutip.
“Peningkatan hasil (kutipan) tahun lalu berjumlah RM800 juta dan saya sudah maklumkan kepada Datuk SS (Sallehuddin Ishak), sasarkan (kutipan hasil) tahun hadapan ialah RM 1 bilion dan apabila jumlah kutipan ini meningkat, yang dapat manfaat ialah rakyat, kita akan kembalikan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk bantuan,” katanya.-SAHIH