BUAH TANGAN ACI FATIMAH LARIS
MARUKU ACI FATIMAH TIDAK ASING DI SEGAMAT
SEGAMAT: Nama Aci Fatimah memang tidak asing dalam kalangan peminat kuih muih kaum India terutama muruku di sekitar daerah ini.
Apa tidaknya, Aci Fatimah atau nama sebenarnya Fatimah Khamis, 56 amat mahir menghasilkan muruku, vade dan kuih batu walaupun tidak mempunyai darah kacukan India. Menjelang Deepavali, Fatimah kini sibuk menyiapkan kuih muih untuk dipasarkan di gerainya, melalui media sosial dan pasar raya berhampiran rumahnya.
Fatimah berkata, dia belajar membuat muruku dan kuih muih lain daripada seorang jiran empat tahun lalu.
“Saya juga belajar bahasa Tamil asas daripada keluarga itu, sekali gus memudahkan saya untuk memasarkan kuih muih dihasilkan, dari situ, saya membuka perniagaan kecilan sendiri dengan modal RM250 pada 2016.
“Saya belajar selama enam bulan, Alhamdulillah kuih yang dihasilkan mendapat permintaan menggalakkan daripada pelanggan sekitar Segamat, Labis, Chaah Jementah dan Batu Anam,” katanya ketika ditemui Harian Metro di gerainya di bandar Segamat, hari ini.
Fatimah berkata, tiada resipi rahsia untuk menghasilkan muruku, sebaliknya adunan perlu dibancuh menggunakan tangan sebelum digoreng dalam minyak benar-benar panas.
“Bukan mudah menghasilkan kuih tradisi itu, ada sukatan tertentu supaya tidak lari dari rasa aslinya, selain itu, tiada pantang larang perlu dipatuhi mengikut kepercayaan kaum itu,” katanya.