Abdul Rahman tawar diri kekal jawatan MKT Umno
Abdul Rahman tawar diri kekal jawatan MKT Umno
LIPIS – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menyerahkan borang menawarkan diri bertanding bagi mengekalkan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sesi 2023 hingga 2026 pada pemilihan parti itu bulan ini, hari ini.
Abdul Rahman hadir ketika sesi rehat Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen untuk menyerahkan borang tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada jam 2.00 petang.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis merangkap Ahli Parlimen Lipis berkata, fokus utama parti cukup jelas iaitu kita perlu melakukan apa sahaja yang perlu untuk bangkit semula dalam tempoh tiga tahun akan datang kerana inilah parti yang menjadi dokongan orang Melayu.
“Tuntutan untuk memulihkan semula kepercayaan rakyat kepada UMNO di Pasca PRU ini bukan lagi satu pilihan namun satu kewajipan buat saya dan semua ahli, beri peluang untuk saya terus berkhidmat untuk memulihkan dan menguatkan parti ini yang berdepan cabaran yang besar dan perlu bermula dari sekarang.
“Berbekalkan pengalaman lebih 30 tahun dalam UMNO, dengan rendah hati, saya tawarkan diri bertanding sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia dan berharap mendapat sokongan daripada semua,” katanya.
Beliau berkata, cabaran utama adalah mengembalikan kepercayaan rakyat dan menarik sokongan orang muda.
“Kita menerima hakikat ini dan mesti bersedia berdepan dengan reality, maka disebabkan itu, saya bersedia menggalas tanggungjawab ini demi kelangsungan parti yang kita sayangi ini,” katanya.-SAHIH.