A ALI SUDAH TIADA
KOMPOSER LEGENDA DISEGANI RAMAI
KAJANG: Komposer A Ali atau nama sebenar, A Ali @ Hamdan Atan, 71, meninggal dunia ketika tidur di kediamannya di Kajang, pagi tadi.
Isteri arwah, Latifah Khamis menyedari suaminya sudah pergi, kira-kira jam 8.30 pagi, lantas segera memaklumkan anak ketiga mereka, Norhuda.
ALLAHYARHAM A Ali (kiri) bersama rakan seperjuangan ketika menganggotai kumpulan Kembara
Norhuda berkata, arwah bapanya tidak mempunyai masalah kesihatan kronik dan pemergiannya sangat mengejutkan.
Malah menurut Norhuda, ibu dan bapanya sempat menunaikan solat Subuh, pagi tadi.
“Emak beritahu selepas solat, arwah merenung ke luar jendela kira-kira jam 7 pagi tadi.
“Arwah beritahu emak, dia nampak lori mengangkut sampah. Tapi emak hairan kenapa lori sampah datang awal. Emak fikir itu sekadar imaginasi arwah.
“Selepas itu, arwah baring semula di katil. Sangka emak, arwah tidur nyenyak. Rupa-rupanya arwah bapa sudah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.
“Jenazah kemudian dibawa ke hospital berdekatan,” katanya seperti dilapokan BH Online.
Allahyarham A Ali dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan, Kajang selepas Zohor.
Bersama Latifah, Allahyarham yang juga bekas anggota kumpulan Kembara bersama Datuk M Nasir, dikurniakan sembilan anak dan lapan cucu.
Sepanjang karier seninya, arwah yang mampu bermain alat muzik seperti gitar, menaikkan nama penyanyi Zaiton Sameon menerusi lagu Menaruh Harapan yang memenangi Juara Lagu 1987.
Arwah juga mencipta lagu Diriku Terbelenggu nyanyian Francissca Peter dan Rayuanku dendangan Rohana Jalil yang cukup popular pada era 1980-an.