TAMBAH BAIK KELAYAKAN KELUAR AKAUN 1
KERAJAAN UMUM RABU INI
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia menambah baik dan memperluaskan jumlah pencarum yang layak mengeluarkan wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dengan semua pihak khususnya KWSP selepas mengambil kira keluhan dan keresahan rakyat terkesan akibat penularan COVID-19.
“Kita memang keberatan kerana bimbang mengenai simpanan masa depan pencarum, namun pada masa sama kita mendengar keresahan rakyat dan akhirnya dalam Belanjawan 2021, kita benarkan pencarum mengeluarkan wang mereka daripada Akaun 1 secara bersasar.
“Bagaimanapun, kita masih berunding dan saya masih mendengar keluhan dan keresahan rakyat mengenai pengeluaran Akaun 1 ini. Perbincangan masih berjalan.
“Untuk itu, kita berbincang dengan KWSP khususnya untuk memperluaskan jumlah pencarum layak kerana sebelum ini kira-kira 600,000 pencarum yang boleh mengeluarkan wang mereka,” katanya pada sidang media khas disiarkan BH Online.
Menerusi pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat baru-baru ini, Tengku Zafrul antara lain mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar bagi meringankan beban kewangan pencarum yang terjejas.
Kira-kira 600,000 pencarum layak mengeluarkan wang sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 bagi tempoh 12 bulan.
KWSP sebelum ini memperkenalkan kemudahan skim pengeluaran i-Lestari yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak RM500 daripada Akaun 2 selama 12 bulan yang memberi manfaat kepada kira-kira 4.7 juta ahli.