NISAN CHINA KUNO DI LAMAN RUMAH
DIPERCAYAI JIRAT CINA YANG BERDAGANG KE PEKAN
PEKAN: Setelah melihat sebongkah batu dianggarkan sepanjang 60 sentimeter (sm) dan lebar 30 sm dengan ketebalan kira-kira 10 sm membawa penemuan sepuluh bongkah lagi yang menyerupai batu nisan dengan bertulisan Cina kuno di perkarangan sebuah rumah di Jalan Bendahara, Pekan, petang kelmarin.
Tuan rumah tersebut, Nur Hazelina Abd Rahman (47), berkata dia sudah mengetahui perkara itu sejak zaman kanak-kanak lagi daripada arwah ibunya yang berasal dari Pekan memaklumkan perkara itu tetapi tidak mengendahkannya.
Katanya, kemungkinan besar terdapat banyak batu seperti itu di kawasan rumahnya tetapi tidak pernah menyelongkar dipercayai bahan artifak sejarah lama itu.
“Arwah emak saya berasal dari sini, dia ada mengatakan kawasan rumahnya adalah bekas jirat Cina lama dan dipercayai kepunyaan orang China yang datang dari Tanah Besar untuk berdagang dan tongkang mereka berlabuh di pelabuhan di Sungai Pahang.
“Saya tidak tahu usia sebenar rumah saya, saya dilahirkan di sini, mungkin juga dan tidak mustahil kalau kapal atau tongkang berlabuh di sungai kecil, Sungai Beram yang jaraknya kira-kira 500 meter dari rumah saya ini,” katanya ketika dihubungi SAHIH.
Katanya, pada mula rakan suaminya yang meninjau di halaman rumah itu, tetiba tergerak hati mereka untuk mengetahui lebih lanjut dan terus mencangkul dan terkena benda keras.
“Mereka terus mencangkul secara berhati-hati untuk mengetahui lebih lanjut agar mata cangkul digunakan tidak merosakkan benda keras itu, memang suami saya dan sahabatnya terkejut mendapati sederet 10 bongkah batu menyerupai batu nisan tertanam kira-kira 15sm.
“Saya memanggil kenalan kaum Cina untuk membaca tulisan yang terdapat di batu itu dan menyatakan ia adalah nisan kaum China yang hidup di zaman Dinasti Qing yang datang dari daerah Jin di China dan meninggal di sini, kawan saya membaca secara agakkan daripada tulisan tersebut kerana ia adalah tulisan China kuno,” katanya.
Nur Hazelina seorang guru terus mencari maklumat menerusi internet dan mendapati Dinasti Qing mencapai zaman kemuncaknya pada masa pemerintahan Kaisar Kangxi pada tahun 1662 hingga 1722, Yongzheng (1723-1735) dan pemerintahan Qianlong pada 1735-1796.
“Mungkin juga Pekan Lama sebagai pusat pemerintahan kerajaan Pahang dan tempat kediaman kediaman raja-raja dan orang-orang besar Pahang menyebabkan Pekan menjadi tumpuan pedagang dari luar pada ketika itu.
“Pekan Baharu pada zaman dahulu adalah perkampungan kecil Cina, dikatakan wujud semenjak abad ke 17 lagi, namun tidak ada tarikh yang pasti tentang penemuan Pekan, tetapi ramai penulis samada penulis Barat, Arab atau penulis China menyebut dan menceritakan tentang Pekan,” katanya.