PAHANG UMUM SOP DEEPAVALI
Berita Nasional
3 KATEGORI KUIL, 5 JAM UNTUK SEMBAHYANG
MARAN: Kerajaan Pahang hari ini mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) khas bagi penganut agama Hindu yang menyambut Deepavali, hujung minggu ini.
SOP itu adalah antara usaha kerajaan negeri dalam mengawal risiko penularan wabak COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, semua SOP itu diputuskan selepas mendapat pandangan dan khidmat nasihat daripada semua pihak, termasuk Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
DATUK Seri Shahaniza Shamsuddin
“Bagi memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa, kita mengklasifikasikan rumah ibadat atau kuil bagi upacara sembahyang sempena Deepavali tahun ini kepada tiga kategori.
“Bagi kategori A, terdapat 30 kuil di seluruh Pahang dan kita tetapkan hanya 50 penganut sahaja berada dalam kawasan kuil pada satu masa.
“Bagi kategori B pula, sebanyak 52 kuil dan dibenarkan hanya 40 orang (berada dalam kawasan kuil) pada satu masa dan untuk kategori C pula, kita ada 23 (kuil) dan jumlah dibenarkan berada dalam kawasan untuk upacara sembahyang pula ialah 30 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Bersama Pengarah Perpaduan Negeri Pahang di sini, petang tadi.
Shahaniza turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri juga menetapkan semua upacara keagamaan atau sembahyang sempena Deepavali hanya dibenarkan dari jam 7 pagi hingga jam 12 tengah hari sahaja.
“Pihak pengurusan kuil perlu mematuhi setiap SOP dikeluarkan MKN dan Kementerian Kesihatan seperti pematuhan penjarakan fizikal dalam ruangan sembahyang dan di luar (perkarangan) rumah ibadat; pemeriksaan suhu; menyediakan hand sanitizer; serta menggunakan aplikasi MySejahtera bagi tujuan pendaftaran.
“Jika juga ingin mengingatkan bahawa kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dan warga emas tidak digalakkan hadir atau menyertai upacara sembahyang bagi mengelakkan sebarang risiko,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang perhimpunan sama ada sebelum atau selepas selesai upacara keagamaan adalah tidak dibenarkan dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas serta mengeluarkan kompaun terhadap mana-mana pihak yang ingkar.