FIKIR PENYELESAIAN LAIN
NILAI SEMULA PELAKSANAAN PKPB
KUALA LUMPUR: Akademi Perubatan Malaysia (AMM) mahu kerajaan menilai semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan ketika ini selain mencari kaedah lain untuk memutuskan jangkitan COVID-19 di negara ini.
Badan yang mewakili 11 kolej dan 15 pakar perubatan itu berkata, kadar kebolehjangkitan atau R-naught (r-0) adalah pengukuran metrik digunakan sebagai asas kepada keputusan kerajaan untuk menguatkuasakan PKPB sudah menurun ke 0.95 pada 9 November berbanding 2.2 pada awal September.
Katanya, pelaksanaan PKPB yang berlanjutan mengakibatkan kesan lebih buruk terhadap ekonomi dan rakyat sedangkan, hanya Negeri Sembilan mencatatkan kadar tinggi, diikuti Putrajaya, Selangor, Pulau Pinang sementara Kedah, Perak serta yang lain masih rendah bagi populasi 100,000 penduduk.
GAMBAR HIASAN
“Ia berdasarkan statistik 14 hari antara 21 Oktober dan 3 November, kebanyakan negeri tidak memerlukan PKPB kecuali Negeri Sembilan jika dibandingkan Kedah, Perak, Terengganu, Johor dan Melaka yang kadarnya rendah.
“Ini berikutan meskipun aktiviti ekonomi dibenarkan, pergerakan dan kehidupan awam yang terbatas memberi kesan terhadap perusahaan kecil dan sederhana yang membabitkan 48 peratus tenaga kerja tempatan, sekali gus memberi kesan kepada isi rumah berpendapatan rendah.
“Namun apa yang diharapkan ia tidak memberi kesan kepada kanak-kanak memandangkan sekolah di seluruh negara ditutup pada Isnin lalu selaras dengan PKPB di kebanyakan negeri, memaksa pembelajaran dari rumah,” katanya yang disiarkan BH Online.
Kenyataan itu berkata, berdasarkan laporan sebelum ini kira-kira 37 peratus murid tidak mempunyai peranti sesuai selain ramai dalam kalangan mereka tidak dapat mengadaptasi pembelajaran secara maya.
Katanya, laporan lain daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendapati peningkatan kadar keciciran pelajar dalam kalangan murid miskin bandar dengan satu daripada lima pelajar mengatakan mereka hilang minat dan motivasi untuk terus belajar dan tidak cukup mendapat makanan bernutrisi.
“Selain itu ada laporan mengatakan lanjutan PKP menunjukkan kadar keganasan rumah semakin meningkat berikutan masalah kewangan dan tekanan emosi serta kesan lain yang tidak dijangkakan.
“Justeru AAM mendesak kerajaan meminimumkan ketidakpastian mengenai persekolahan ketika pandemik, selain perlu menetapkan garis panduan jelas, konsisten, teliti untuk jangka panjang dan sederhana seterusnya mengutamakan kesejahteraan mental, emosi dan fizikal kanak-kanak,” katanya.
Mengulas lanjut, AAM berkata, ada kaedah lain membendung penularan COVID-19 tanpa menguatkuasakan PKPB dan mencukupi dengan PKPP yang dikenakan sebelum ini.
“Kerajaan perlu mengamalkan ‘jalan tengah’ seperti disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan menerima hakikat hidup bersama virus, mengurangi kesengsaraan dan angka kematian tanpa perlu menghentikan dan memulakan semula ekonomi.
“Adalah lebih baik PKPB ini dilakukan secara bersasar bagi zon yang mencatatkan jangkitan tinggi dan Kementerian Kesihatan mempunyai pengalaman yang baik sejak sembilan bulan lalu dalam mengawal jangkitan dan rekod prestasi cemerlang itu harus diteruskan,” katanya.