EKONOMI DIJANGKA PULIH TAHUN HADAPAN
KUALA LUMPUR: Ekonomi negara dijangka kembali pulih tahun hadapan seiring perkembangan ekonomi global dan laporan penemuan vaksin pandemik COVID-19.
Memetik laporan BH Online, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK) dijangka berkembang 6.5 hingga 7.5 peratus dan ia selari jangkaan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta Bank Dunia iaitu pada kadar enam hingga lapan peratus.
Namun secara dasarnya, katanya tidak dapat dipastikan bilakah vaksin untuk COVID-19 ini akan diperoleh walaupun ada laporan mengatakan ia sedia digunakan pada pertengahan 2021.
“Unjuran kita berdasarkan laporan semasa itu, 2021 dijangka akan mencatatkan pemulihan. Namun, apa yang penting sebenarnya adalah bagaimana rakyat dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 ketika ini.
“Semua pihak harus mengambil maklum kepentingan SOP supaya ekonomi dan rakyat tidak terlalu terkesan dengan wabak ini,” katanya ketika wawancara khas di TV3.
Tengku Zafrul berkata, melalui Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu, perkara perlu diambil perhatian adalah berkaitan pelaksanaannya.
“Hasil perbelanjaan kerajaan itu perlu ada dan setiap pihak yang terbabit perlu memantau penyampaian setiap perbelanjaan dalam belanjawan.
“Tanpa pelaksanaan tepat, kita tidak akan dapat hasil yang kita mahukan dalam belanjawan 2021,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya komitmen perbelanjaan kerajaan ketika ini adalah bagi mewujudkan situasi ekonomi yang stabil di Malaysia.
“Belanjawan 2021 adalah perbelanjaan yang tidak pernah dialami sebelum ini dan terbesar dalam sejarah negara dari sudut dana.
“COVID-19 adalah krisis luar biasa, penyelesaiannya perlu sentiasa ada penambahbaikan bagi memberi kesan ekonomi yang baik.
“Ia juga kali pertama kita membabitkan libat urus dan membuka cadangan dengan semua pihak termasuk parti pembangkang,” katanya.
Tengku Zafrul turut mengakui secara peribadinya tidak kisah sekiranya cadangan itu datang dari pihak mana sekalipun termasuk pembangkang, kerana apa yang penting inputnya dalam membantu rakyat dan ekonomi negara.