FGV MINTA FELDA HENTI KELUAR KENYATAAN
FGV MINTA FELDA HENTI KELUAR KENYATAAN
BELUM TERIMA NOTIS BATAL LLA
KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd mahu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berhenti daripada mengeluarkan kenyataan lanjut kepada media berhubung isu perjanjian pajakan tanah (LLA), memandangkan ia masih belum menerima notis bertulis daripada FELDA mengenai penamatan LLA dan hasratnya untuk mengambil alih kilang sawit FGV di seluruh negara.
Syarikat perladangan itu berkata, Pengerusi FGV Datuk Azhar Abdul Hamid semalam menulis surat kepada Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh memaklumkan kepadanya bahawa pihaknya belum menerima sebarang notis berkaitan LLA sehingga semalam.
Menurut laporan Bernama, FGV mencadangkan FELDA menghentikan sebarang siaran media mengenai perkara tersebut sebelum membuat kenyataan bersama mengenai perkara yang dipersetujui mengikut terma dan syarat LLA, kata beliau dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam.
Pengerusi Pasukan Petugas Khas FELDA, Tan Sri Abdul Wahid Omar mengumumkan rancangan berkenaan pada 30 Oktober lepas.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai artikel diterbitkan The Edge Malaysia yang melaporkan FELDA menentang cadangan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mengenai suntikan aset perladangan ke dalam FGV, FGV menjelaskan pengarah FGV ada menerima surat daripada pengerusi FELDA yang menyatakan lembaga pengarah FELDA tidak akan menyokong sebarang cadangan yang akan menyebabkan pencairan pegangan sahamnya di dalam FGV.
GAMBAR HIASAN
Mengenai cerminan kepentingan daripada syarikat pegangan pelaburan Perspective Lane (M) Sdn Bhd (PLSB) pada 15 Oktober untuk mengambil bahagian dalam FGV melalui suntikan aset perladangan sebagai pertukaran kepada saham, FGV berkata PLSB tidak menyebut sama ada aset perladangan yang mahu disuntik ke dalam syarikat itu, diletakkan di bawah Tradewinds Plantations Bhd.
Juga tidak disebut sama ada Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR), yang diletakkan di bawah PLSB, adalah sebahagian daripada aset perladangan yang akan disuntik ke dalam FGV.
PLSB adalah subsidiari milik penuh Restu Jernih Sdn Bhd yang dimiliki Syed Mokhtar.
Tradewinds Plantation dan CSR pula dimiliki oleh PLSB.