KLUSTER BAHARU PELANCONGAN DI JERANTUT
WUJUDKAN KLUSTER BAHARU PELANCONGAN DAERAH JERANTUT
JERANTUT : Pokok kelat gelam berwarna merah atau nama saintifiknya Eugenia Cerina Hend di Bukit Buluh atau turut dikenali Bukit Merah dekat FELDA Padang Piol boleh dijadikan produk sokongan baharu ekopelancongan di daerah Jerantut.
Pokok yang banyak di sepanjang permatang bukit dan sekitar lereng menjadikan bukit itu sangat unik serta boleh dijadikan tarikan utama pengunjung, terutamanya peminat sukan lasak pendakian.
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata daerah Jerantut bukan sahaja kaya dengan khazanah alam semula jadi, tetapi turut memiliki seni dan budaya menarik yang wajar ditonjolkan.
“Selain Gunung Tahan yang terkenal di seluruh dunia, banyak bukit di sekitar daerah ini mula didatangi pengunjung.. terdapat sungai yang bersih, cantik dan nyaman dan Gua Gelanggi yang perlu diaktifkan semula.. serta Gunung Senyum yang perlu dipromosikan lebih agresif kepada orang luar,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Hiking Bukit Buluh atau Hutan Merah di Dewan Orang Ramai Felda Padang Piol, dekat sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, kawasan Tahan bertuah kerana mempunyai banyak lokasi tarikan pelancong yang boleh memberi pulangan dan membuka peluang perniagaan kepada penduduk setempat.
“Selain produk pelancongan yang diketengahkan, masyarakat sekitar turut mendapat tempias dengan menyediakan perkhidmatan inap desa, rumah tumpangan, chalet dan perhotelan.. sudah pasti semua ini dapat menjana ekonomi mereka.
“Masakan ikan sungai seperti ikan patin, jelawat, kelah dan sebagainya perlu diangkat sebagai menu tradisional Jerantut.. contohnya masakan gulai masam tempoyak, pais tempoyak, sambal hitam dan juga menu seperti bubur liar ,” katanya
Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Pahang, Datuk Idros Yahya berkata, Bukit Merah bukan saja boleh menjadi produk ekopelancongan, tapi turut berperanan sebagai penyokong kepada produk pelancongan lain yang terdapat di Taman Negara Kuala Tahan.
“Sebelum pelancong tiba di Kuala Tahan, di sepanjang perjalanan bermula dari Lanchang yang terkenal dengan Pusat Pemeliharaan Gajah, Kuala Gandah, seterusnya ke Temerloh, Jerantut dan ke Kuala Tahan maka kluster pelancongan lain wajar diwujudkan.
“Selain Bukit merah, banyak lagi kawasan tanah tinggi seperti Bukit Seladang, Bukit Panau, Bukit Batu dan Via Ferrata Paya Gunung yang tidak jauh dari bandar dan mudah untuk diakses, boleh ditawarkan kepada pelancong luar yang meminati aktiviti hiking,” katanya.