PWPB hulur sumbangan buat balu Allahyarham Mohd Zalani
PWPB hulur sumbangan buat balu Allahyarham Mohd Zalani
Kuantan: Persatuan Wartawan Pahang Barat (PWPB) menyampaikan sumbangan kepada balu wartawan Astro AWANI, Suaibatul Aslmiah Abu Bakar, 52, di kediamannya di sini, hari ini sebagai tanda simpati atas pemergian suaminya, Mohd Zalani Md Atan.
Allahyarham Mohd Zalani meninggal dunia Jumaat lalu di kediamannya berhampiran Kuantan selepas mengadu sakit kepala sebelum rebah.
Pengerusi PWPB, Sallehudin Mat Resat berkata, walaupun Allahyarham bukan ahli persatuan berkenaan, sumbangan itu diberikan atas dasar persahabatan dan semangat setia kawan dalam kalangan pengamal media.
“Saya sudah lama mengenali Allahyarham ketika kami sama-sama menjalankan tugasan liputan.
“Justeru, semangat kewartawanan dan setia kawan dalam kalangan pengamal media perlu sentiasa ditanam dalam diri,” katanya.
Sementara itu, wakil PWPB, Norehan Salleh berkata, beliau turut berasa sebak ketika menyerahkan sumbangan berkenaan kepada keluarga Allahyarham.
Katanya, beliau pernah bertemu Allahyarham ketika menjalankan tugasan liputan di beberapa lokasi di negeri ini.
“Ketika mendapat tahu mengenai pemergiannya, saya terkejut kerana kami sempat bertemu pada majlis malam media di sini, seminggu sebelum arwah meninggal dunia,” katanya.-SAHIH
#PWPB #Wartawan #AstroAwani #Kuantan
