ECRL belum beroperasi, kabel sudah disamun
ECRL belum beroperasi, kabel sudah disamun
TEMERLOH: Belum pun memulakan operasi yang disasarkan seawal Disember ini, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah menjadi sasaran penjenayah apabila dua kes samun stor simpanan kabel dilaporkan di daerah ini.
Kejadian itu turut membabitkan lima kes kecurian kabel Telekom Malaysia (TM) di sekitar Temerloh, Mentakab dan Lanchang dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM75,000.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kegiatan empat kumpulan dikenali sebagai Geng Ravi, Geng Kepala, Geng Dany dan Geng Mista berjaya ditumpaskan menerusi beberapa serbuan dari 12 hingga 19 Oktober lalu.
Katanya, seramai 17 lelaki ditahan dalam operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh bersama Task Force Cegah Jenayah Balai Polis Mentakab.
“Daripada jumlah itu, 12 suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, manakala beberapa suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Nasyim berkata, Geng Ravi ditumpaskan susulan penahanan lima lelaki berusia 20 hingga 60 tahun antara 12 hingga 15 Oktober lalu bersama sebuah lori Mitsubishi dan potongan besi tiang.
Menurutnya, tujuh lelaki berusia 30 hingga 45 tahun dipercayai anggota Geng Kepala pula ditahan pada 14 Oktober bersama dua kenderaan pacuan empat roda, gelong kabel ECRL dan peralatan memproses kabel.
“Pada 18 Oktober, seorang lelaki berusia 28 tahun dipercayai anggota Geng Dany ditahan bersama sebuah Perodua Myvi dan beberapa gelong kabel dipercayai milik TM.
“Suspek mempunyai 15 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.
Beliau berkata, empat lagi lelaki berusia 22 hingga 31 tahun dipercayai anggota Geng Mista ditahan pada 19 Oktober bersama Mitsubishi Triton, gelong kabel dan 27 batang keratan kabel.
Katanya, ketua Geng Mista turut dikenal pasti menganggotai Geng Kepala, manakala tiga lagi suspek daripada Geng Ravi dan Geng Mista masih bebas.

Semua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395, 379 dan 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 235(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.-SAHIH
#ECRL #Temerloh #SamunKabel #Jenayah
