Malaysia lakar sejarah, Myanmar setuju terima semula 10,400 pelarian
Malaysia lakar sejarah, Myanmar setuju terima semula 10,400 pelarian
PUTRAJAYA: Kejayaan Malaysia meyakinkan Myanmar menerima semula pelariannya disifatkan sebagai pencapaian diplomatik luar biasa apabila negara berkenaan turut menanggung sepenuhnya kos penghantaran pulang mereka.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang berjaya mendapatkan persetujuan Myanmar untuk menerima kembali pelariannya hasil usaha diplomatik diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, seramai 10,400 pelarian Myanmar diterima semula negara asal mereka sejak awal tahun ini hingga penghujung September lalu.
“Ini satu pencapaian yang agak luar biasa kerana seperti yang Perdana Menteri maklumkan, Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang berjaya meyakinkan sebuah negara seperti Myanmar untuk menerima kembali pelarian mereka.
“Seramai 10,400 pelarian Myanmar diterima oleh Myanmar sejak awal tahun hingga hujung September lalu dan semuanya dipulangkan pada kos ditanggung pihak Myanmar sendiri.
“Jadi, ini satu pencapaian diplomatik yang cukup memberangsangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi Oktober 2026 di sini, Rabu lalu.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata, lawatan rasmi Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing ke Malaysia pada 7 dan 8 Oktober lalu turut membuka ruang perbincangan bagi membolehkan lebih ramai pelarian negara itu dihantar pulang.
Menurutnya, perkembangan berkenaan membuktikan kepentingan hubungan diplomatik dalam mencari penyelesaian terhadap isu pelarian yang sekian lama menjadi cabaran kepada negara.
Sehubungan itu, beliau meminta pasukan Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneliti perkembangan terbabit sebagai sebahagian usaha berterusan Malaysia memperkukuh hubungan diplomatik dengan negara luar.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, kejayaan diplomatik Malaysia turut dapat dilihat menerusi kehadiran Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan Raja Jordan, Raja Abdullah II ke negara ini.
Katanya, pelaksanaan gerakan Global Sumud bagi membantu rakyat Palestin turut mencerminkan peranan aktif Malaysia dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa.-SAHIH
#PelarianMyanmar #FahmiFadzil #DiplomasiMalaysia #AnwarIbrahim
