Demi Irfan, nenek 66 tahun gagahi perjalanan seawal 2 pagi
Demi Irfan, nenek 66 tahun gagahi perjalanan seawal 2 pagi
PUTRAJAYA: Kasih seorang nenek mengatasi segala kepayahan apabila sanggup memulakan perjalanan seawal jam 2 pagi semata-mata mahu memastikan cucunya yang menghidap palsi serebrum berpeluang merasai sendiri kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan 2026.
Bagi Zara Wan Omar, 66, keadaan cucunya, Mohammad Irfan Rayyan Mohammad Fairin Nasley yang memerlukan penjagaan khusus bukan alasan untuk meninggalkannya daripada menikmati detik bermakna bersama keluarga.
Katanya, segala keperluan cucunya sudah diambil kira sebelum mereka hadir ke sambutan berkenaan termasuk memastikan Irfan tidak terlalu terdedah kepada bunyi yang kuat.
“Dia tak ada banyak beragam. Cuma sebab di sini parkir jauh sangat. Kami kena angkat dia. Naik bukit tinggi dengan makcik yang sudah tua ini, 66 tahun.
“Kami nak dia rasai sebab dia suka bunyi-bunyi. Tapi kalau terlalu bising pun tak boleh, sebab itu makcik duduk di sini,” katanya ketika ditemui Bernama TV.
Menurut Zara, sambutan kali ini menjadi pengalaman pertama Irfan menyaksikan sendiri kemeriahan Hari Kebangsaan dan ia cukup bermakna buat seluruh keluarga.
Walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran menjaga cucunya sejak sekian lama, Zara berkata mereka sentiasa berusaha untuk kekal tabah dan kuat demi memastikan Irfan mendapat perhatian serta kasih sayang secukupnya.
Katanya, sebagai seorang nenek, beliau tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap keadaan cucunya, sebaliknya hanya mahu melihat Irfan terus berada dalam keadaan sihat.
“Cucu saya dah keadaan macam itu. Jadi kita kena tabah, kena kuat untuk cucu saya.
“Untuk dia kembali seperti insan lain, biasanya kita tak boleh menaruh harapan sangat. Cuma saya nak dia sihat,” katanya.
Bagi Zara, membawa Irfan menyertai kemeriahan Hari Kebangsaan bukan sekadar memberi pengalaman baharu, malah mahu memastikan cucunya turut merasai kegembiraan dan semangat patriotik sebagaimana anggota keluarga lain.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Zara Wan Omar, Mohammad Irfan Rayyan, palsi serebrum, Hari Kebangsaan 2026, Putrajaya, OKU, nenek, patriotisme
