Jurang ekonomi, peluang kerja turut ancam keharmonian
Jurang ekonomi, peluang kerja turut ancam keharmonian
KUALA LUMPUR: Ketidakseimbangan sosioekonomi dan peluang pekerjaan antara masyarakat perlu ditangani secara serius kerana ia berpotensi menjejaskan keharmonian serta perpaduan negara.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, isu perpaduan tidak seharusnya dilihat hanya daripada sudut sentimen kaum, agama dan institusi diraja (3R), sebaliknya perlu mengambil kira pelbagai faktor yang mempengaruhi kehidupan rakyat.
Menurutnya, jurang sosioekonomi yang semakin melebar serta ketidakseimbangan akses terhadap peluang pekerjaan boleh mencetuskan rasa tidak puas hati sebelum berkembang menjadi isu lebih besar dalam masyarakat.
“Isu keharmonian itu bukan sahaja berlaku disebabkan isu 3R ataupun agama ataupun kaum sahaja.
“Isu keharmonian ini juga bangkit apabila kita ada isu jurang sosioekonomi antara masyarakat. Peluang pekerjaan dan juga lain-lain sebab pun juga punca menjadi isu keharmonian di mana ia dibesarkan sebagai isu perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir dalam rakaman program Ruang Bicara bertajuk Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati di Wisma Bernama, baru-baru ini.
Yuneswaran berkata, kemajuan dan pembangunan ekonomi negara perlu diterjemahkan kepada kesejahteraan yang benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.
Katanya, kejayaan sesebuah negara tidak boleh dinilai berdasarkan kekuatan ekonomi semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira tahap kesejahteraan rakyat serta keamanan yang dinikmati.
Dalam pada itu, beliau menyeru generasi muda khususnya Gen Z supaya tidak melihat kemerdekaan dan perpaduan sekadar sebagai konsep atau teori.
Sebaliknya, katanya, golongan muda perlu memahami sejarah perjuangan negara serta memainkan peranan sebagai agen yang menyatukan masyarakat.
“Saya berharap Gen Z, anak-anak muda sekarang, jangan anggap perpaduan ataupun kemerdekaan ini sebagai satu teori sahaja.
“Bacalah sejarah negara kita, kenapa kita dapat merdeka, daripada siapa dan sejauh mana negara kita sudah maju. Sentiasa menjadi agen perpaduan,” katanya.
Beliau turut menggalakkan rakyat mengenali budaya, bahasa dan makanan masyarakat lain bagi meningkatkan kefahaman antara kaum.
Pada masa sama, Bahasa Malaysia perlu terus diperkasakan bukan sahaja sebagai bahasa perantara, malah sebagai medium utama dalam menyatukan rakyat.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Yuneswaran Ramaraj, perpaduan, keharmonian, jurang sosioekonomi, peluang pekerjaan, 3R, Gen Z, Bahasa Malaysia, Malaysia MADANI
