KOPSYA Catat Untung Bersih RM12.7 Juta, Kukuh Peranan Pembiayaan Koperasi
KOPSYA Catat Untung Bersih RM12.7 Juta, Kukuh Peranan Pembiayaan Koperasi
SELANGOR – Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi kewangan koperasi yang diyakini apabila merekodkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah sebanyak RM12.7 juta bagi tahun kewangan 2025.
Pencapaian itu diumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Kali Ke-12 KOPSYA di Auditorium ANGKASA, di sini.
Menurutnya, kejayaan berkenaan membuktikan institusi milik anggota mampu mencapai prestasi cemerlang apabila diuruskan berlandaskan prinsip amanah, integriti dan tadbir urus yang baik.
Katanya, pencapaian itu juga menjadi bukti bahawa prinsip koperasi dan profesionalisme mampu bergerak seiring dalam memastikan sesebuah institusi terus berkembang serta berdaya saing.
“Sehingga kini, KOPSYA telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM1.3 bilion dengan pengeluaran pembiayaan sebanyak RM874 juta kepada koperasi anggota dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk hartanah, perladangan, peruncitan dan kredit.
“Kehadiran seramai 1,169 perwakilan pada MAPT kali ini, termasuk 397 yang hadir secara fizikal dan 772 secara dalam talian, mencerminkan keyakinan berterusan koperasi anggota terhadap peranan KOPSYA sebagai institusi pembiayaan yang dipercayai,” katanya.
Abdul Fattah berkata, usaha KOPSYA meneroka pasaran modal Islam menerusi penerbitan sukuk turut menunjukkan perkembangan positif apabila aset pembiayaan bernilai RM100 juta berjaya dilengkapkan untuk proses penilaian seterusnya.
Menurutnya, langkah berkenaan dijangka membuka ruang kepada sumber pembiayaan yang lebih besar dan mampan bagi menyokong pertumbuhan koperasi anggota pada masa depan.
Beliau berkata, KOPSYA juga terus memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan Islam melalui pembukaan cawangan pertama KOPSYA Ar-Rahnu di Saujana Utama, Sungai Buloh yang mula beroperasi pada November tahun lalu.

“Susulan sambutan menggalakkan, KOPSYA kini sedang mengenal pasti lokasi strategik untuk pembukaan cawangan kedua,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Abdul Fattah berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Pengerusi KOPSYA selepas memperoleh 1,092 undi dalam pemilihan Lembaga Khas KOPSYA, manakala Datuk Haji Mohd Jamil Othman turut mengekalkan jawatan Timbalan Pengerusi dengan 967 undi.-SAHIH
#kw KOPSYA, Abdul Fattah Abdullah, ANGKASA, koperasi, pembiayaan syariah, keuntungan bersih, MAPT, Ar-Rahnu
