30 wakil NGO sertai bengkel perkasa seni budaya Pahang
30 wakil NGO sertai bengkel perkasa seni budaya Pahang
KUANTAN – Seramai 45 peserta mewakili 30 badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh Pahang menyertai Bengkel Inspirasi dan Strategi Seni Budaya 2026 yang berlangsung di sini baru-baru ini bagi memperkukuh pengurusan serta pembangunan program seni dan budaya di negeri ini.
Bengkel anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai pelbagai aspek penting termasuk idea dan strategi perancangan program, taklimat permohonan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK), pemasaran strategik serta teknik penyediaan kertas kerja yang berkesan.
Wakil Persatuan Gamelan dan Kesenian Lela Indera Pahang, Muhammad Syaraff Ali berkata, bengkel tersebut memberi pemahaman yang lebih jelas kepada peserta mengenai prosedur permohonan GSSK yang mampu membantu pertubuhan dan persatuan melaksanakan pelbagai aktiviti kebudayaan.
Menurutnya, penerangan yang disampaikan oleh penceramah bukan sahaja mudah difahami malah membantu peserta menyediakan kertas kerja yang lebih tersusun dan menepati keperluan permohonan geran.
“Bengkel ini membuka mata kami mengenai proses permohonan geran. Rupanya terdapat kaedah yang lebih mudah dan sistematik untuk menyediakan kertas kerja yang berkualiti serta berpotensi untuk diluluskan,” katanya.
Sementara itu, wakil Persatuan Seni Budaya Pahang, Hamidi Yaacob berkata, sesi penghasilan kertas kerja berkesan merupakan antara pengisian paling bermanfaat kepada NGO yang ingin merancang pelbagai program pada masa hadapan.
Katanya, ilmu yang diperoleh boleh dimanfaatkan dalam pelaksanaan program kemasyarakatan, kebudayaan dan pembangunan belia yang lebih tersusun serta memberi impak positif kepada masyarakat.
Beliau berharap lebih banyak program seumpama itu dapat diteruskan bagi meningkatkan keupayaan NGO seni dan budaya dalam merancang aktiviti yang kreatif, berkualiti serta berdaya saing.
Bengkel tersebut diharap dapat melahirkan lebih banyak NGO yang mampu menjadi penggerak utama pembangunan seni dan budaya di Pahang, sekali gus memperkukuh pemeliharaan warisan serta identiti budaya negeri ini.-SAHIH.
