Pelajar UIS Santuni Warga Emas PJMM Melalui Program Community Credit Fund 2.0
Pelajar UIS Santuni Warga Emas PJMM Melalui Program Community Credit Fund 2.0
Foto : Beberapa pelajar UIS membersih karpet dan menyusun sejadah dalam surau PJMM.
SEMENYIH – Seramai 10 pelajar Universiti Islam Selangor (UIS), Bandar Seri Putra, Kajang mengambil peluang menyertai Program Community Credit Fund 2.0 di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di sini, sekali gus menyalurkan sokongan sosial, emosi dan moral kepada penghuni warga emas di pusat berkenaan.
Program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIS itu memberi ruang kepada pelajar terlibat melaksanakan aktiviti kebajikan dengan menyantuni warga emas serta membantu meringankan beban tugasan harian petugas PJMM.

Pelajar UIS Santuni Warga Emas PJMM Melalui Program Community Credit Fund 2.0
Ketua kumpulan, Mohamad Hakimi Md Noor berkata, program berkenaan membuka peluang kepada beliau dan rakan-rakan mempraktikkan tanggungjawab sosial secara langsung dalam membantu komuniti yang memerlukan.
Menurutnya, pengalaman itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pihak yang dibantu, malah membentuk kemahiran serta kesedaran sukarelawan terhadap nilai kemanusiaan dan keprihatinan sosial.
“Kehadiran kami di PJMM secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara pelajar institusi pengajian tinggi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang gigih membela nasib warga emas terbiar dan disisihkan keluarga,” katanya ketika ditemui pada program tersebut, 31 Januari lalu.
Mohamad Hakimi berkata, tugasan diagihkan mengikut kumpulan termasuk membantu penyediaan makanan tengah hari dan minum petang, mencuci peralatan dapur, membersihkan bilik penghuni serta surau, selain kerja membaik pulih kelengkapan yang digunakan petugas.
Seorang peserta, Sufi Suparti berkata, pengalaman melihat warga emas menikmati hidangan yang disediakan sendiri oleh mereka cukup menyentuh perasaan.
“Meskipun uzur, mereka tetap bersyukur dan gembira kerana masih ada insan yang mengambil berat tentang kebajikan mereka,” katanya.
Rakannya, Nuraleeya Balqis Rahidin pula berkata, program itu memberi ketenangan walaupun sibuk dengan jadual kuliah, selain membuka ruang mendengar keluh kesah warga emas.
“Mereka menunjukkan disiplin dan saling membantu terutama ketika beribadah, sekali gus memberi pengajaran tentang pentingnya hubungan erat dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.-SAHIH.
