Saman 26 tahun lalu ‘hidup’ semula, baharui lesen disekat
Saman 26 tahun lalu ‘hidup’ semula, baharui lesen disekat
JERANTUT – Seorang pemandu lori berdepan situasi membingungkan apabila saman trafik yang dikeluarkan hampir 26 tahun lalu tiba-tiba muncul semula dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), walaupun kes berkenaan didakwa sudah diselesaikan sepenuhnya di Mahkamah Rembau pada 14 September 2000.
Isteri pemandu terbabit, Amutha Narayan, 49, berkata perkara itu hanya disedari apabila suaminya, Kathiravel Ramasamy, 51, gagal memperbaharui lesen memandu pada Januari ini selepas dimaklumkan lesen berkenaan disekat susulan rekod saman lama yang masih dianggap belum selesai dalam sistem JPJ.
Menurutnya, suaminya dimaklumkan bahawa semakan lanjut hanya boleh dibuat di JPJ Selangor, namun usaha menghubungi pejabat berkenaan tidak mendapat sebarang maklum balas.
“Hasil semakan di JPJ Rembau mendapati terdapat rekod saman bertarikh 18 April 1999, namun saman itu sudah dibayar sepenuhnya oleh suami saya di Mahkamah Rembau pada 14 September 2000.
“Keadaan menjadi lebih mengelirukan apabila terdapat juga rekod saman yang dikaitkan dengan nombor kenderaan yang tidak pernah dimiliki oleh suami saya,” katanya ketika ditemui hari ini.
Amutha berkata, mereka bernasib baik kerana masih menyimpan resit asal sebagai bukti pembayaran saman berkenaan berjumlah RM300 di Mahkamah Rembau.
“Pelik apabila sistem JPJ masih memaparkan kes itu sebagai ‘belum selesai’, sekali gus menyebabkan lesen suami disenarai hitam.
“Selepas beberapa panggilan dan perbincangan dengan pihak JPJ Rembau, akhirnya mereka mengesahkan semua kes itu telah diselesaikan dan lesen boleh diperbaharui selepas saya memaklumkan kewujudan resit pembayaran,” katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh 26 tahun lalu, lesen memandu suaminya boleh diperbaharui tanpa sebarang masalah, namun sekatan secara tiba-tiba dikenakan akibat saman lama yang didakwa masih tertunggak baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, permintaan untuk mendapatkan pengesahan bertulis bahawa tiada lagi saman tertunggak tidak dapat dipenuhi pihak JPJ.
“Kejadian ini menimbulkan kebimbangan kerana saman lama yang sudah diselesaikan, mungkin boleh muncul semula pada masa hadapan tanpa sebarang pengesahan rasmi untuk melindungi pemilik lesen.
“Ia juga menimbulkan persoalan serius mengenai ketepatan dan penyelarasan data antara JPJ, mahkamah serta cawangan negeri,” katanya.
Amutha berharap satu mekanisme pengesahan rasmi dapat diwujudkan bagi kes lama yang telah diselesaikan sepenuhnya supaya kejadian sama tidak berulang, selain tidak menolak kemungkinan ramai lagi pengguna jalan raya berdepan masalah sama tanpa menyedarinya. -SAHIH.
