Isu guru dibuli: Kongres mahu KPM tingkat nilai kesejahteraan
Isu guru dibuli: Kongres mahu KPM tingkat nilai kesejahteraan
JERANTUT: Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) memandang serius isu guru yang berdepan tekanan serta perlakuan tidak wajar, termasuk tindakan pihak pentadbiran sekolah yang boleh ditafsirkan sebagai perbuatan membuli.
Presidennya, Mohamad Zapawi Mamat berkata, Kongres menyambut baik aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menekankan nilai kesejahteraan, saling menghormati dan kemanusiaan selaras dengan gagasan Malaysia MADANI.
Menurut beliau, sebarang pendekatan pengurusan yang menimbulkan tekanan emosi, rasa takut atau ketidakadilan terhadap guru perlu ditangani secara berhemah dan konstruktif bagi menjamin persekitaran kerja yang sihat.
“Kongres menegaskan bahawa peranan pentadbir sekolah adalah sebagai pemimpin yang membimbing, mendengar dan memperkasa guru, bukannya mewujudkan budaya intimidasi atau komunikasi yang tidak beradab.
“Kepimpinan berasaskan empati, dialog dan keadilan merupakan teras kepada persekitaran kerja yang harmoni serta produktif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, meskipun Kongres mengiktiraf majoriti pentadbir sekolah melaksanakan tugas dengan penuh komitmen dan profesionalisme, aduan berkaitan tekanan berlebihan serta pendekatan kepimpinan yang kurang empati wajar diberi perhatian awal.
Katanya, isu berkenaan perlu ditangani menerusi mekanisme komunikasi dan penyelesaian yang telus serta adil bagi mengelakkan ia berlarutan sehingga menjejaskan kesejahteraan guru.
Sehubungan itu, Kongres menyokong usaha berterusan KPM untuk memperkukuh saluran aduan yang selamat, berintegriti serta bebas daripada sebarang bentuk tekanan atau tindakan balas.
“Kesejahteraan guru mesti sentiasa dipelihara kerana ia memberi kesan langsung kepada kualiti pendidikan dan perkembangan murid,” katanya.
Tambah beliau, Kongres kekal komited sebagai rakan strategik KPM dalam menjayakan agenda reformasi pendidikan berteraskan nilai MADANI, sekali gus mewujudkan persekitaran sekolah yang saling menghormati demi kepentingan guru, murid dan negara.-SAHIH.
