Cikgu gunting rambut ringankan beban keluarga kurang mampu
Cikgu gunting rambut ringankan beban keluarga kurang mampu
JERANTUT – Keikhlasan seorang guru mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat mendapat perhatian apabila beliau sanggup menggunting rambut kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan dan Orang Kurang Upaya (OKU) secara percuma, manakala hanya mengenakan bayaran serendah RM3 kepada mereka yang mampu.
Guru berkenaan, Mohd Fahmi Abdul Hamid, 37, berkata inisiatif itu digerakkan dengan niat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa, khususnya menjelang sesi persekolahan baharu yang menuntut pelbagai perbelanjaan asas.
“Saya akan gunting rambut secara percuma kepada kanak-kanak daripada keluarga susah dan OKU. Jika ada yang ingin menyumbang, saya hanya ambil RM3 sahaja, itu pun bagi yang mampu.
“Sebagai seorang guru, saya mahu melihat anak-anak ini tampil kemas, berdisiplin dan lebih bersemangat apabila melangkah ke sekolah. Penampilan yang rapi mampu meningkatkan keyakinan diri mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar, di sini.
Menurut Mohd Fahmi yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Merting, kebanyakan penduduk kampung terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah dengan bilangan tanggungan yang ramai, menyebabkan kos asas seperti potongan rambut turut menjadi satu beban.
Minat Mohd Fahmi dalam bidang menggunting rambut turut mempengaruhi enam orang adik-beradiknya yang lain, sehingga masing-masing kini mahir dan menawarkan khidmat tersebut secara sambilan di tempat tinggal mereka.
“Saya berasa puas apabila melihat wajah kanak-kanak dan orang dewasa ceria selepas digunting. Dari situlah saya dikenali sebagai ‘Cikgu Tukang Gunting’,” katanya.
Keprihatinan Mohd Fahmi turut mendapat pengiktirafan apabila beliau bersama adiknya, Mohd Faiz Abdul Hamid, 35, serta seorang rakan dijemput menyertai program gunting rambut percuma melibatkan hampir 200 pelajar prasekolah, sekolah rendah dan menengah di sekitar Pulau Tawar.
Inisiatif berterusan ini bukan sahaja mencerminkan semangat kesukarelawanan, malah menjadi contoh teladan bahawa keikhlasan dan kepakaran kecil mampu memberi impak besar kepada kesejahteraan komuniti setempat.- SAHIH.
