Yayasan Al Huffaz anjur tadarus, hadiahkan pahala khatam 30 kali kepada arwah
Yayasan Al Huffaz anjur tadarus, hadiahkan pahala khatam 30 kali kepada arwah
KUALA KETIL – Yayasan Al Huffaz, Kuala Ketil, Kedah, menganjurkan Majlis Tadarus al-Quran dan Zikir Tahlil selama dua minggu bermula 19 Februari hingga 5 Mac 2026, bersempena 1 hingga 15 Ramadan, dengan sasaran mengkhatamkan al-Quran sebanyak 30 kali dalam tempoh berkenaan.
Program ibadah itu melibatkan semua guru dan pelajar Yayasan Al Huffaz yang berganding bahu menyertai tadarus secara berterusan sebagai usaha mengimarahkan bulan Ramadan serta menghidupkan amalan menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada insan yang telah meninggal dunia.
Menurut Pengerusinya, Ustaz Muhammad Musa Al-Hafiz As-Sembilani, majlis berkenaan dianjurkan bukan sahaja bertujuan melahirkan generasi huffaz yang berdisiplin, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk berkongsi pahala dan mendoakan arwah insan tersayang dengan kos yang minimum.
Katanya, pahala khatam al-Quran sebanyak 30 kali akan dihadiahkan kepada nama-nama arwah yang didaftarkan melalui borang penyertaan khas dengan sumbangan RM10 bagi setiap nama arwah.
“Dengan kos yang minimum, insya-Allah pahala yang diperoleh adalah maksimum. Dunia tidak rugi, akhirat juga tidak sia-sia,” katanya.
Penyertaan dibuka kepada orang ramai dan tarikh tutup pendaftaran adalah pada atau sebelum 18 Februari 2026, sebelum majlis bermula pada hari pertama Ramadan.
Bagi memudahkan urusan, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Yayasan Al Huffaz (552040101300) dan menghantar nama-nama arwah bersama bukti pembayaran melalui aplikasi WhatsApp ke 017-404 0982.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Pembantu Tadbir di talian 017-404 0982 atau 019-511 4040, atau pihak pengurusan Yayasan Al Huffaz.
Majlis berkenaan diharap dapat menjadi medan amal jariah berterusan, bukan sahaja kepada peserta, malah sebagai hadiah pahala dan doa kepada insan tersayang yang telah kembali ke rahmatullah.-SAHIH
