Tapir berkeliaran di Hospital Mentakab cetus gempar
Tapir berkeliaran di Hospital Mentakab cetus gempar
MENTAKAB – Suasana malam di sekitar Hospital Mentakab gempar apabila seekor tapir dilaporkan berkeliaran di kawasan berkenaan, malam tadi, sebelum rakaman video kejadian itu tular di media sosial.
Menerusi beberapa klip video yang dimuat naik oleh orang awam, kelihatan haiwan liar berkenaan berjalan perlahan di laluan berhampiran kawasan hospital, dipercayai tidak menyedari kehadiran manusia di sekitarnya.
Kejadian itu dipercayai berlaku lewat malam ketika keadaan persekitaran agak lengang.
Tapir yang dikenali dengan nama saintifik Tapirus indicus merupakan spesies mamalia liar yang dilindungi dan lazimnya mendiami kawasan hutan.
Kehadirannya di kawasan bandar, khususnya berhampiran fasiliti awam seperti hospital, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa terkejut dan bimbang terhadap keselamatan orang awam serta haiwan berkenaan, selain ada yang menyuarakan simpati terhadap tapir itu yang dipercayai tersasar dari habitat asalnya.
“Takut juga kalau tiba-tiba muncul di depan kereta atau orang lalu,” komen seorang pengguna Facebook, manakala seorang lagi berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Difahamkan, kehadiran tapir di kawasan berkenaan berkemungkinan berpunca daripada gangguan habitat akibat pembangunan atau kekurangan sumber makanan di kawasan hutan berhampiran, menyebabkan haiwan liar keluar mencari kawasan yang lebih selamat.
Sehingga kini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. Namun, orang awam dinasihatkan supaya tidak menghampiri atau cuba menghalau haiwan liar secara sendiri kerana ia boleh mendatangkan risiko keselamatan.
Sebarang penemuan haiwan liar di kawasan awam disaran segera dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Insiden ini sekali lagi mengingatkan orang ramai tentang kepentingan pemeliharaan habitat hidupan liar agar konflik antara manusia dan haiwan dapat dielakkan.-SAHIH
