Minat pelihara kuda jadi rezeki, pengusaha kereta kuda raih hingga RM800 semalam
Foto : Salah satu kereta kuda yang menjalankan perkhidmatan untuk pelancong dan pengunjung di Pantai Batu Buruk.
Minat pelihara kuda jadi rezeki, pengusaha kereta kuda raih hingga RM800 semalam
KUALA TERENGGANU – Bermula sekadar hobi memelihara kuda, usaha Muhammad Haziman Al-Fairi Muhammad Zahari, 44, kini berkembang menjadi sumber pendapatan tetap apabila beliau mengusahakan perkhidmatan kereta kuda dan tunggang kuda pelancongan di sekitar Dataran Batu Buruk, di sini.

Muhammad Haziman Al-Fairi Muhammad Zahari
Anak jati Kampung Landang Tok Pelam, Kuala Terengganu berkata, pada peringkat awal beliau hanya memelihara kuda untuk keseronokan dan sering membawa haiwan itu mandi di pantai setiap petang.
“Pada satu hari, seorang pelancong Eropah meminta untuk mencuba menunggang kuda. Saya letakkan harga sekadar suka-suka, RM5 satu pusingan. Tidak sangka sambutan itu menjadi titik permulaan,” katanya.
Menurutnya, sekitar tahun 2000 beliau mula melihat potensi perniagaan berasaskan pelancongan dan mengambil keputusan membuka operasi secara kecil-kecilan di Batu Buruk yang ketika itu belum menjadi tumpuan seperti hari ini.

“Pada awalnya, kawasan ini hanya dikunjungi orang tempatan yang datang berkelah dan pulang sebelum Maghrib. Saya keluar berniaga dari tengah hari hingga Maghrib selama hampir dua tahun.
”Selepas menambah tempoh operasi hingga ke waktu malam, sambutan pengunjung semakin meningkat dan perniagaan mula menunjukkan hasil yang memberangsangkan dalam tempoh enam bulan.
Kini, Muhammad Haziman mengendalikan enam hingga tujuh kereta kuda, selain lima unit tarikan berbentuk ‘kereta api mini’, khusus untuk kegunaan pelancong dan keluarga.
Dari segi pendapatan, beliau berkata hasil yang diperoleh bergantung kepada musim cuti dan keadaan cuaca.
“Pada malam cuti, pendapatan boleh mencecah RM800 semalam, manakala pada hari biasa sekitar RM200 hingga RM400. Itu belum ditolak kos makanan kuda, minyak dan penjagaan,” jelasnya.
Selain perkhidmatan pelancongan, beliau turut menjalankan jual beli kuda, dengan harga ditentukan berdasarkan tahap latihan, kegunaan serta kemahiran kuda tersebut.
“Kuda yang dilatih untuk menarik kereta kuda boleh mencecah harga sekitar RM12,000, manakala kuda tunggang untuk membawa penumpang harganya lebih rendah kerana latihan lebih santai,” katanya.
Walaupun berdepan cabaran termasuk musim hujan dan bulan Ramadan, beliau tetap meneruskan operasi pada waktu malam dan bersyukur dengan rezeki yang diperoleh.
“Bagi saya, pendapatan RM400 satu malam sudah besar nilainya. Tidak ramai yang mampu dapat pendapatan harian begitu. Yang penting, saya bersyukur dan kerja ini halal,” katanya.-SAHIH.
