Pecah Rumah Gagal, Suspek Dicekup Bersama Navara Yang Dicuri
Pecah Rumah Gagal, Suspek Dicekup Bersama Navara Yang Dicuri
TEMERLOH: Cubaan seorang lelaki melarikan diri selepas memecah masuk sebuah rumah di Kampung Batu 4 Paya Pulai, di sini, tidak bertahan lama apabila dia berjaya ditahan orang awam bersama sebuah pacuan empat roda yang dilaporkan dicuri.
Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Supt Marina Hashim, berkata suspek berusia 36 tahun itu turut didapati positif methamphetamine menerusi ujian air kencing, selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Pada 8 Disember jam 1.16 tengah hari, polis menerima maklumat daripada orang awam yang melihat suspek berada di tepi jalan di Kampung Batu 4, Jalan Maran. Bertindak atas maklumat itu, suspek berjaya ditahan dengan bantuan penduduk bersama sebuah Nissan Navara putih bernombor pendaftaran NDA 993, yang dilaporkan hilang di Pekan Awah, Maran pada 29 November lalu.
Dalam kejadian pada 6 Disember lalu, mangsa yang juga jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) pulang ke rumah sekitar jam 3.30 petang sebelum melihat sebuah Nissan Navara putih berhenti di hadapan kediamannya.
Mangsa kemudian terkejut apabila mendapati seorang lelaki tidak dikenali berada di ruang tamu sebelum mendapatkan bantuan jiran untuk menangkap suspek. Namun, lelaki terbabit melarikan diri dengan memandu kenderaan itu.
Menurut Marina, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh pada 9 Disember bagi permohonan reman untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, polis kini melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan pertuduhan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.-SAHIH
