Bazar Kuala Semantan buka 1 Disember — Rezeki baharu penjaja desa Temerloh
Bazar Kuala Semantan buka 1 Disember — Rezeki baharu penjaja desa Temerloh
TEMERLOH: Lebih 40 penjaja dan usahawan kecil di daerah ini bakal memulakan lembaran baharu apabila Bazar Kuala Semantan dibuka secara rasmi pada 1 Disember 2025, sekali gus menamatkan penantian panjang untuk memiliki lokasi perniagaan tetap dan teratur.
Pengerusi Kelab Usahawan Desa Temerloh, Mastura Abdul Malik, berkata pembukaan pusat niaga itu berjaya direalisasikan selepas pelbagai usaha turun naik pejabat dibuat bersama jawatankuasa kelab bagi memastikan setiap proses mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Pengerusi Kelab Usahawan Desa Temerloh,
Mastura Abdul Malik(tengah)
Menurutnya, langkah itu memberi kelegaan besar kepada penjaja yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada khemah, menanggung sewa tapak mahal dan berniaga dalam keadaan tidak menentu akibat cuaca.
“Mulai kini, penjaja tak perlu lagi pasang khemah atau berhadapan hujan dan panas. Semua peniaga diberi kedai sendiri di bazar ini dan mereka boleh berniaga setiap hari, dari pagi hingga malam, tanpa bayaran permit tambahan,” katanya ketika ditemui.

Kemudahan lengkap, konsep satu bumbung
Selain deretan kedai makanan serta produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS), bahagian tingkat atas Bazar Kuala Semantan menempatkan pelbagai perkhidmatan penting yang jarang terdapat di satu lokasi di Temerloh.
Antaranya ialah Ayubeauty Spa yang menawarkan rawatan kulit menggunakan teknik stemcell peptide dan nano treatment, kedai gunting rambut wanita, urutan badan, kedai telefon bimbit, perkhidmatan printer dan percetakan serta kedai gambar.
Kombinasi itu bukan sahaja menambah pilihan kepada pengunjung, malah memberi ruang lebih luas untuk usahawan desa mengembangkan perniagaan masing-masing.

Sokongan MPT dan Pejabat Daerah
Mastura turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di bawah pimpinan Yang Dipertua, Tuan Rizal Mustafa, atas sokongan yang membolehkan projek itu direalisasikan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Khairur Rizal Ramli, atas komitmen memastikan usahawan kecil memiliki lokasi tetap dan selesa untuk berniaga tanpa menambah beban sedia ada.

Pegawai Daerah Temerloh,
Datuk Khairur Rizal Ramli
“Kerjasama dan sokongan daripada pihak MPT serta Pejabat Daerah sangat penting dalam membangunkan bazar ini. Tanpa mereka, usaha ini tidak mungkin tercapai,” katanya.
Destinasi pelancongan baharu
Bagi memeriahkan lagi bazar itu, pengendali bas pelancongan turut dimaklumkan supaya menjadikan lokasi tersebut sebagai hentian tetap. Malah, setiap minggu peniaga akan mengadakan demo masakan tradisi seperti lemang, dodol dan pelbagai juadah warisan bagi menarik minat pengunjung luar.

Pusat rezeki dan tumpuan komuniti
Dengan kemudahan lengkap serta operasi setiap hari, Bazar Kuala Semantan dijangka menjadi pusat tumpuan keluarga untuk mendapatkan makanan, produk IKS dan perkhidmatan harian dalam suasana lebih selesa dan tersusun.

“Bazar ini bukan sekadar tempat berniaga, tetapi menjadi pusat komuniti berkumpul dan ruang rezeki baharu untuk penduduk Temerloh. Kami menjemput semua hadir bermula 1 Disember,” kata Mastura.-SAHIH
