Ketumbuhan dalam otak, usus bocor… ibu tiga anak mohon bantuan
PEKAN – Seorang wanita di Kampung Baru Cenderawasih, Batu 9 Sungai Miang di sini merayu bantuan orang ramai selepas menghidap pelbagai penyakit serius termasuk ketumbuhan dalam kepala, barah otak, darah tinggi dan ketumbuhan dalam usus, sehingga menjejaskan kehidupan keluarganya.
Rahmah Abdul Wahab, 48, berkata dia menjalani pembedahan ketumbuhan otak pada 2023 namun dimaklumkan tumor berkenaan tumbuh semula dan memerlukan pembedahan kedua yang berisiko tinggi.
“Doktor maklumkan ketumbuhan itu tak habis dibuang. Sekarang ia tumbuh semula dan risiko pembedahan kali kedua sangat tinggi.
“Saya masih dalam rawatan bulanan dan ubat cucuk untuk kepala pula mencecah sekitar RM6,000 sekali. Jumlah itu dianggarkan hampir RM18,000 setahun, namun kos rawatan tersebut ditanggung hospital.
“Kami tetap terbeban dengan kos ulang-alik, ubat tambahan dan keperluan lain,” katanya.
Rahmah berkata selain ketumbuhan otak, dia turut menjalani pembedahan usus bocor pada 2024 dan masih perlu berulang-alik ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan setiap bulan.
“Kami naik bas setiap kali rawatan. Anak yang jaga saya, dan ada masanya dia terpaksa ponteng sekolah sebab perlu ikut.
“Ubat tambahan pun kami tak mampu beli kerana keadaan kewangan sangat terhad,” katanya.
Keluarga itu hanya bergantung kepada pendapatan suaminya, Abdul Razak Lazim, 49, yang bekerja kampung dengan hasil tidak menentu antara RM40 hingga RM60 sehari, menjadikan pendapatan bulanan tidak pernah melebihi RM1,000.
Pasangan itu menjaga tiga anak serta seorang cucu berusia antara 8 hingga 23 tahun, yang masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan harian serta tambang van.
“Bantuan yang kami dapat sebelum ini sangat menggembirakan. Kami terharu bila ada yang sudi menghulurkan pertolongan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Cabang PKR Pekan yang juga Pengerusi Biro Felda Keadilan Negeri Pahang, Muhammad Yazid Che Mat, berkata kes Rahmah menunjukkan perlunya lebih banyak pihak peka terhadap masalah rakyat di Parlimen Pekan.
“Puan Rahmah perlukan kos rawatan yang besar. Ubat mingguan sahaja sekitar RM300 sebulan, itu belum termasuk ubat lain.
“Ramai lagi orang kampung, warga emas dan pesakit kronik yang perlukan perhatian seperti ini,” katanya.
Beliau berkata ketua-ketua masyarakat perlu mengambil tahu keadaan penduduk di kawasan masing-masing.
“Pemimpin kampung kena pantau masalah anak buah, terutama bab kesihatan dan kebajikan.
“Saya harap pemimpin turun padang, buat laporan dan serah kepada pihak berwajib supaya bantuan dapat disegerakan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sebelum ini beberapa kali turun membantu Rahmah termasuk menyalurkan bantuan kewangan, barangan dapur dan keperluan asas seperti kipas.
“Alhamdulillah, JKM juga sudah menghantar kerusi roda untuk memudahkan pergerakan Puan Rahmah di dalam rumah. Kami hargai kerjasama semua NGO dan sukarelawan yang hadir membantu hari ini,” katanya.-SAHIH
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi 011-2559 3886 atau menyalurkan sumbangan ke akaun:
BANK RAKYAT
22-100-129561-3
Rahmah binti Abdul Wahab & Madiah binti Abdul Razak
