Impian miliki rumah sendiri jadi kenyataan
Impian miliki rumah sendiri jadi kenyataan
LIPIS – Kegembiraan jelas terpancar di wajah dua penerima inisiatif Rumah Makmur apabila impian mereka untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan hasil keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang.
Bagi Nur Ainzah Adina Abdul Khalid, 32, dari Kuala Lipis, peluang memiliki rumah menerusi skim berkenaan disifatkan sebagai anugerah besar buat keluarganya selepas sekian lama berusaha mencari kediaman mampu milik.
Bersama suaminya, Ami Iwan Muhammad Rozi, 34, pasangan itu kini menetap di Bentong dan amat bersyukur dipilih sebagai antara penerima rumah teres bernilai RM80,000 di bawah skim tersebut.
“Memang gembira sangat sebab sebelum ini kami cuba nak beli rumah di tempat lain tapi tak mampu.
”Dengan adanya program Rumah Makmur ini, akhirnya kami dapat juga rumah sendiri dan tidak sabar untuk berpindah ke rumah baharu ini, ” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci kediaman di kawasan perumahan berkenaan di Kuala Lanar, baru-baru ini.
Nur Ainzah yang tidak bekerja dan bergantung kepada pendapatan suaminya di sektor swasta turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas usaha membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Saya berterima kasih sangat kepada Kerajaan Negeri dan juga kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana menyediakan Rumah Makmur ini untuk kami yang tak mampu membeli rumah pada harga pasaran biasa,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Sofri Yusof, 41, dari Bandar Jengka turut meluahkan rasa syukur apabila tersenarai sebagai penerima projek perumahan di bawah inisiatif kerajaan negeri itu.
Bapa kepada dua anak itu berkata, sebelum ini keluarganya hanya menyewa rumah sementara menanti peluang memiliki kediaman sendiri.
“Saya rasa sangat gembira dan bersyukur kerana kerajaan negeri banyak membantu rakyat seperti kami untuk memiliki rumah sendiri. Inisiatif sebegini amat diperlukan bagi membawa perubahan dan kemakmuran kepada masyarakat.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan membantu rakyat memiliki rumah sendiri,” katanya.
Beliau yang merupakan peserta kategori rumah teres turut berhasrat berpindah ke kediaman baharu dalam masa terdekat bagi memulakan kehidupan lebih selesa bersama keluarga.-SAHIH.
