Konvensyen Kebajikan Selangor Perkukuh Ekosistem Penjagaan dan Kesejahteraan Sosial
Foto : Perwakilan memberi tumpuan dalam Sesi Libat Urus bersama Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor.
Konvensyen Kebajikan Selangor Perkukuh Ekosistem Penjagaan dan Kesejahteraan Sosial
SHAH ALAM: Konvensyen Kebajikan Negeri Selangor 2025 bertemakan “Revolusi Penjagaan Untuk Kesejahteraan Sejagat” yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Seksyen 15, di sini, menjadi platform penting memperkukuh ekosistem kebajikan dan penjagaan di negeri ini.
Program anjuran kerajaan negeri menghimpunkan perwakilan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil masyarakat bagi membincangkan pendekatan baharu dalam memastikan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari, berkata kerajaan negeri sudah merangka dasar khusus bagi memartabatkan peranan petugas pusat penjagaan dan rumah kebajikan yang disifatkan sebagai barisan hadapan dalam bidang sosial.
”Kursus dan latihan penjagaan turut diperkenalkan bagi meningkatkan kemahiran serta gaji mereka, selain mengurangkan salah faham terhadap peranan sebenar penjaga warga emas.
“Kerjasama pelbagai agensi, NGO dan masyarakat diyakini mampu memperkukuh ekosistem kebajikan serta kualiti perkhidmatan di pusat jagaan. Antara cadangan dibangkitkan ialah isu bayaran elaun yang akan dibincangkan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim, berkata konvensyen itu menandakan perubahan paradigma daripada model penjagaan tradisional kepada pendekatan berasaskan komuniti, teknologi dan kolaboratif pelbagai pihak.
Beberapa sesi perkongsian turut diadakan membabitkan wakil SPRM, KWSP, NGO serta penggiat pusat jagaan yang menekankan tadbir urus, integriti dan penggunaan teknologi digital dalam pengurusan kebajikan.
Peserta konvensyen juga berpeluang membina jaringan profesional serta menimba pengetahuan baharu bagi memperkukuh sistem penjagaan yang inklusif, berintegriti dan berdaya tahan.-SAHIH.